Dion Cools Bantu FC Midtjylland Humban Celtic Di Pusingan Kelayakan UCL

Dion Cools FC Midtjylland

Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools membantu pasukannya FC Midtjylland mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menumpaskan Celtic 2-1 dalam aksi timbal balik di MCH Arena.

Perlawanan tersebut diheret sehingga masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan dan Raphael Onyedika muncul wira selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94.

Celtic selaku pasukan pilihan terlebih dahulu di hadapan menerusi rembatan voli kapten pasukan Callum McGregor dari luar kotak penalti.

Tetapi pasukan tuan rumah berjaya mengikat kedudukan hasil tandukan Awer Mabil yang menyambut hantaran lintang Pione Sisto pada minit ke-61.

Cools dimasukkan pada separuh kedua masa tambahan dan berjaya memastikan kelebihan satu gol dimiliki kelab Denmark itu bertahan sehingga tamat perlawanan untuk memberikan kemenangan 3-2 secara agregat.

Ia merupakan kali keempat berturut-turut Celtic terlepas untuk beraksi di pusingan akhir UCL. Pengurus baharu Ange Postecoglou mengakui beliau bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan tersebut.

FC Midtjylland perlu mengharungi pusingan kelayakan UCL selepas sekadar menamatkan saingan Liga Super Denmark di tangga kedua di bawah Brondby IF dengan perbezaan satu mata.

Dengan semangat luar biasa, kelab itu jelas beraksi lebih baik dalam perlawanan ini dan tentunya mereka sudah bersedia untuk dengan ujian seterusnya.

Lawan Midtjylland di peringkat seterusnya adalah PSV Eindhoven, sementara Celtic pula bakal berdepan kelab Republik Czech, FC Jablonec di pusingan ketiga Liga Europa (UEL).

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply