Dimitar Berbatov: Saya Bukan ‘Malas’, Tapi Main Pakai Otak

Dimitar Berbatov

Bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov cukup terkenal dengan sifat ‘malas’ di atas padang sepanjang beraksi untuk beberapa kelab di England.

Di sebalik pandangan tersebut, penjaring terbanyak Bulgaria sepanjang zaman itu menjelaskan orang yang mengkrtiknya sebenarnya tidak faham bahawa itu adalah sebahagian daripada ‘muslihatnya’.

Dalam satu temubual bersama Radio BBC, Berbatov mendedahkan bahawa gaya permainannya yang dilihat ‘lesu’ itu sebenarnya merupakan satu taktik untuk ‘menipu’ atau mengelirukan pemain pertahanan lawan.

Situasi itu akan menyebabkan pihak lawan terleka kerana rasa selamat dan gagal untuk menghidu ancaman yang bakal menjelma. Ruang itulah yang sering dimanfaatkan Berbatov untuk meladakkan jaringan.

Taktik itu terbukti berkesan berdasarkan statistik peribadinya sepanjang lapan tahun beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Tottenham Hotspur, Manchester United dan Fulham di mana beliau telah mengumpul 94 gol daripada 229 perlawanan liga.

“Setiap pemain melihat permainan dari kaca mata yang berbeza. Gaya permainan saya mungkin berbeza daripada yang lain, mungkin sebab itul kadang-kadang kamu lihat seolah-olah saya ‘hilang’ di atas padang.

“Tetapi dalam masa yang sama, sebenarnya saya sedang mengimbas keseluruhan padang untuk mencari posisi terbaik supaya saya ada di tempat atau ruang yang betul pada masa yang tepat.

“Apabila saya memperoleh masa dan ruang yang cukup, saya ada masa untuk berfikir untuk ‘meletakkan’ bola ke mana selepas itu.

“Segelintir orang tidak faham tentang perkara ini. Sebenarnya jika kamu bermain menggunakan otak di kepala, walaupun kamu perlahan dari segi kelajuan, kamu masih tetap dilihat pantas dengan berada di posisi yang betul.”

Mengenai kemungkinan untuk menjadi jurulatih, beliau yang kini berusia 39 tahun mengatakan tidak mudah untuk menjadi jurulatih yang bagus walaupun dirinya pernah menjadi pemain terkenal di dunia.

“Ada pemain bola sepak yang merasakan mereka boleh menjadi jurulatih yang hebat, sebenarnya ia jauh daripada realiti.

“Saya sudah ada Lesen A dan harap saya dapat mengambil Lesen Pro pada hujung tahun ini. Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan, jadi lebih baik kita bersedia.

“Jika takdir saya menjadi jurulatih, saya bersedia untuknya. Tetapi buat masa sekarang, saya mahu meluangkan masa lebih banyak untuk keluarga dan anak-anak.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Dimitar Berbatov:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram