Dilihat Sudah Bersama Pasukan, Shahrel Fikri Sah Kembali Sertai Perak?

Shahrel Fikri

Biarpun Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dan Perak masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai Shahrel Fikri Md Fauzi, rata-rata peminat sudah mengetahui bahawa pemain skuad kebangsaan tersebut akan beraksi bersama pasukan juara Piala Malaysia 2018 itu pada musim 2019.

Shahrel Fikri, 24 tahun, dilihat turut sama menyertai skuad Perak ke Alor Setar menjelang pertemuan menentang Kedah dalam aksi kejuaraan Unity Shield di Stadium Darul Aman pada malam ini.

Laman instagram peribadi milik Shahrel juga telah memberikan jawapan kukuh mengenai haluan beliau pada musim 2019.

Tinjauan di ‘instagram story’ rakan sepasukannya di Perak juga telah menjadi sumber rujukan sahih buat para penyokong yang turut mengikuti rapat perkembangan tersebut.

Shahrel Fikri sudah sebati dengan Perak kerana beliau merupakan antara tonggak utama skuad muda Perak ketika menjuarai Piala Presiden dan SUKMA 2014.

Namun, nasib beliau bersama skuad senior tidaklah begitu baik dan terpaksa memilih haluan ke PKNP FC dalam saingan Liga FAM 2016.

Shahrel ketika beraksi bersama skuad Piala Presiden Perak. Kredit foto: Facebook Shahrel Fikri

Bersama PKNP FC, segalanya berubah buat Shahrel apabila namanya mula melonjak naik saban tahun dan kemuncaknya beliau telah dipanggil menyertai skuad kebangsaan serta mendapat perhatian kelab Thailand, Nakhon Ratchasima Mazda FC (pemain pinjaman).

Menarik untuk disaksikan sumbangan yang bakal dijelmakan Shahrel Fikri bersama pasukan Perak!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram