Dilema Cheng Hoe Di Jentera Serangan Berdepan Jordan, Bagaimana XI Harimau Malaya?

Tan Cheng Hoe Syafiq Ahmad Guilherme de Paula 2021

Melihatkan senarai pemain yang dibawa ke Amman, Jordan kali ini, majoriti penyokong Harimau Malaya resah dengan keputusan akhir yang akan dijelmakan berdepan dua aksi antarabangsa – Jordan dan Uzbekistan.

Lapan daripada 22 pemain belum ada penampilan bersama skuad negara iaitu Kalamullah Al-Hafiz, Arif Fadzillah, Ariff Farhan, Quentin Cheng, Al-Hafiz Harun, Hakimi Abdullah, Mukhairi Ajmal dan Fayadh Zulkifli.

Dan salah satu posisi yang sah akan digerakkan oleh pemain baharu adalah bek kiri iaitu antara Arif Fadzilah ataupun Ariff Farhan. Antara kedua-dua pemain ini, Ariff Farhan kemungkinan akan diberikan lampu hijau.

Walaupun ada yang gembira akhirnya barisan kejurulatihan skuad negara mendengar rintihan penyokong dengan pemilihan pemain mengikut ‘selera’ mereka kali ini, namun lawan yang dihadapi bukan calang-calang.

Apakah pendekatan pengendali, Tan Cheng Hoe untuk aksi berdepan Jordan? Adakah Malaysia akan bermain lebih defensif ataupun akan mengekalkan pendekatan yang sama dengan cuba mengawal perlawanan.

Cheng Hoe menggemari formasi taktikal empat pertahanan, lima pemain di tengah dan penyerang tunggal sama ada formasi 4-1-4-1, 4-2-3-1 atau 4-3-2-1. Ini antara kemungkinan formasi taktikal yang akan digunakan.

Dilema utama Cheng Hoe dan juga majoriti penyokong ketika ini adalah siapa yang akan mengemudi jentera serangan? Sepanjang lima perlawanan yang dilalui tahun ini, Malaysia hanya meledak tiga jaringan sahaja. Dan ketika berdepan Jordan pada Ogos 2019, isu untuk mencetak gol adalah masalah terbesar ketika itu.

Penulis merasakan Cheng Hoe akan mengekalkan penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula sebagai pemburu gol sambil dibantu pemain nombor 10 di belakangnya, iaitu Syafiq Ahmad yang diketahui berkesan untuk bergerak di serata kawasan defensive third lawan. Beliau hanya perlu mengumpan bola ke depan.

Apabila menggunakan sistem dengan penyerang kedua, Malaysia dijangka akan turun dengan formasi 4-2-3-1, di mana Syafiq Ahmad akan turut dibantu oleh dua inside forward, Baddrol Bakhtiar dan Faisal Halim.

Jangkaan line up Malaysia Jordan 2021
Jangkaan kesebelasan utama Malaysia berdepan Jordan

Sebagaimana dalam artikel sebelum ini, penulis merasakan penyenaraian Baddrol Bakhtiar kali ini berlainan dengan penyenaraiannya dalam penampilan pertama dan terakhir bersama Cheng Hoe pada tahun 2019.

Berbanding bermain sebagai deep lying playmaker selama 45 minit ketika berdepan Tajikistan – Malaysia menang 1-0, Baddrol Bakhtiar mungkin akan menggerakan jentera di sebelah kanan sebagai inside forward. Cheng Hoe adalah jurulatih yang bertanggungjawab menukarnya sebagai inside forward pada 2017.

Jika Baddrol Bakhtiar diberikan tugasan itu nanti, siapa pula akan berada di enjin pasukan, jentera tengah?

Dua pemain yang dijangka akan mengukuhkan posisi tersebut iaitu Akram Mahinan yang diketahui sebagai pemain tengah bertahan, serta seorang lagi pemain adalah Nazmi Faiz yang mungkin diperlukan bagi menambah elemen kreativiti menerusi hantaran dan menambah kelancaran gerakan di jentera tengah.

Namun, jika Cheng Hoe mahukan lebih elemen defensif di tengah, Nazmi Faiz terpaksa dikorbankan untuk Kenny Pallraj yang peranannya sama seperti Akram Mahinan. Mukhairi Ajmal lebih kepada attacking minded.

Untuk kubu skuad negara, Khairul Fahmi dijangka akan kembali meraih kepercayaan Cheng Hoe selepas agak lama tidak dipanggil menyertai skuad negara. Berbekalkan 56 kaps, beliau paling berpengalaman di gawang.

Barisan benteng akan diketuai Aidil Zafuan yang besar kemungkinan digandingkan bersama Irfan Zakaria. Cheng Hoe diketahui menggemari ball playing centre back dan ball winning centre back. Dominic Tan adalah pemain yang sama seperti Aidil Zafuan, jadi mungkin beliau akan berada di bangku simpanan dahulu.

Mengapa Irfan Zakaria dikatakan ball playing defender? Itulah peranannya ketika bersama Kedah dan kini bersama KL City. Beliau pernah menjelaskannya kepada The Star tentang peranannya di benteng pasukan.

Jika Baddrol Bakhtiar digunakan sebagai inside forward, kombinasinya bersama Rizal Ghazali di sebelah kanan akan diadun oleh Cheng Hoe. Dan kombinasi Terengganu FC pula digunakan di sebelah kiri antara Faisal Halim dan Arif Fadzilah. Pastinya semua sudah tahu kelebihan menggunakan inside forward.

Pemain di posisi itu lebih bebas dan jika bek tengah keluar untuk mengekang, mereka akan meninggalkan ruang di belakang, sementara jika bek sisi pula datang mengekang, bek menyerang akan diberikan ruang besar. Oleh itu, kesefahaman kombinasi Kedah di kanan dan kombinasi Terengganu di kiri penting.

Jadi, siapa pula pilihan penyokong untuk membarisi kesebelasan utama Harimau Malaya berdepan Jordan?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply