Dilanjutkan Semusim Lagi Bersama Kedah, Renan Alves Janji ‘Baiki’ Diri

Renan Alves Kedah KDA FC 2021 baiki diri

Pertahanan tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Renan Alves berjanji akan baiki diri dan meningkat prestasi selepas kontraknya dilanjutkan semusim lagi.

Kedah akhirnya memuktamadkan yang mereka bakal mengekalkan khidmatnya untuk musim ketiga berturut-turut selepas dikhabarkan bakal digantikan dengan pemain import baharu. Antara pemain yang dikaitkan adalah Rebin Sulaka.

Sebelum ini timbul tanda tanya mengenai masa depan Renan Alves selepas namanya tidak muncul dalam grafik pengenalan para pemain Kedah. Seharusnya, namanya lebih awal diumumkan akan kekal selepas dikhabarkan masih berbaki setahun kontrak.

Begitupun, selepas 23 pemain telah diperkenalkan oleh Kedah, namanya masih tidak muncul dan kelibatnya dilihat masih berada di kampung halamannya, Brazil.

Tidak dapat dipastikan mengapa ianya mengambil sedikit masa, namun ia mungkin berkait rapat dengan rundingan kontrak baharu. Sebelum ini dikhabarkan yang untuk musim hadapan, pemain-pemain yang kekal akan disemak semula kontak mereka.

KDA FC ketika mengumumkannya berkata, “Tidak dapat dinafikan sumbangan besar beliau dibahagian pertahanan, dengan fizikal yang tinggi dan keras padu mematahkan serangan serta turut menjaringkan beberapa gol penting dalam situasi bola mati.

“Semoga kritikan yang diterima akibat beberapa insiden melibatkan beliau yang dianggap kurang cermat terus diperbaiki, semoga Renan fokus sepenuhnya mencipta kejayaan bersama pasukan KDA FC!,” tambah kenyataan itu lagi di Facebook rasmi.

Sememangnya Renan Alves kerap kali terlepas aksi penting yang melibatkan Kedah. Beliau juga pernah terlepas dua aksi Hijau Kuning di pentas final disebabkan layangan kad merah iaitu di saingan Piala FA dan Piala Malaysia 2019.

Penyokong-penyokong Kedah juga adakalanya dilihat kurang berpuas hati dek kerana situasi-situasi tersebut yang jelas mengurangkan kekuatan Kedah terutamanya dalam aksi penting sebegitu. Namun, tidak dinafikan kepentingannya juga.

Meluahkan di laman Facebooknya, Renan Alves dilihat sedar akan ‘kekurangan’ tersebut dan berjanji akan baiki diri dan prestasinya. Katanya sambil mengucapkan syukur atas pelanjutan kontraknya untuk tempoh semusim lagi, “Saya akan bekerja lebih keras dan buat yang terbaik untuk memperbaiki diri setiap masa.”

Tambahnya, beliau mahu membalas semula kepercayaan yang kembali diberikan kepadanya, “Saya akan buat yang terbaik untuk membalas keyakinan yang diberikan.”

KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC

Baca lagi artikel lain mengenai Renan Alves dan Kedah:

Diluar Jangkaan, Renan Alves Juga Akan Tinggalkan Kedah?

Aidil Sharin: Lupakan Renan Alves, Kita Ada Pemain Cukup Kaliber Isi Kekosongan Beliau

CEO Kedah Sahkan Cerita Tentang Sumareh, Liridon Hanya Spekulasi

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

Leave a Reply