Dilabel Sebagai ‘Anti-Guardiola’, Apa Yang Istimewa Mengenai Ralph Hasenhuttl?

Ralph Hasenhuttl

Memulakan tugasan pertama selaku pengurus Southampton dengan kekalahan 1-0 bertemu Cardiff City, Ralph Hasenhuttl berdepan tugas getir pada perlawanan seterusnya bertemu Arsenal di laman sendiri.

Namun ketika aksi di St Mary’s Stadium malam tadi, pengurus kelahiran Austria itu diangkat sebagai wira selepas skuad bimbingannya berjaya menamatkan rentetan 22 perlawanan tanpa kalah yang dikecapi The Gunners dalam semua pertandingan.

Beliau dilantik sebagai pengurus Southampton bagi menggantikan Mark Hughes yang dipecat selepas kelab tersebut seri 2-2 ketika berhadapan Manchester United pada 2 Disember lalu.

SOUTHAMPTON, ENGLAND – DECEMBER 06: New Southampton FC manager Ralph Hasenhüttl pictured at the clubs Staplewood Campus on December 6, 2018 in Southampton, England. (Photo by Matt Watson/Southampton FC via Getty Images)

Kenali Ralph Hasenhuttl

Pengendali berusia 51 tahun ini merupakan pengurus pertama dari Austria yang membimbing kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Sebelum ke England, Hasenhuttl yang juga merupakan bekas pemain antarabangsa Austria pernah membimbing empat pasukan di Jerman.

Antara kelab yang pernah dibimbing adalah SpVgg Unterhaching, VfR Aalen, FC Ingolstadt 04 dan RB Leipzig.

Pencapaian selaku pengurus

VfR Aalen

Ketika menjadi pengurus VfR Aalen pada musim 2011/12, beliau berjaya mengemudi kelab yang beraksi dalam saingan The 3 Liga (Divisyen 3 Jerman) muncul juara liga sekaligus dinaikkan taraf ke 2.Bundesliga.

Musim baharu dalam saingan 2.Bundesliga menyerlahkan keupayaan Hasenhuttl selaku pengurus selepas menamatkan saingan di tempat ke-9.

Menjadi pasukan terbaik dalam kalangan kelab yang baru dinaikkan ke 2.Bundesliga.

Akibat gagal mencapai kata sepakat bersama Pengarah Sukan VfR Aalen, Hasenhuttl mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab pada Jun 2013.

FC Ingolstadt 04

Khidmat beliau kemudiannya ditagih kelab 2.Bundesliga yang berpangkalan di Bavaria itu pada Oktober 2013.

Tugas sukar jelas menanti Hasenhuttl apabila Ingolstadt menghuni tangga bawahan liga ketika itu, bagaimanapun beliau berjaya mengubah keadaan pasukan untuk menamatkan musim di tempat ke-10.

Musim berikutnya merupakan antara pencapaian gemilang buat kelab dan juga bagi dirinya setelah Ingolstadt muncul juara 2.Bundesliga yang sekaligus mengukir sejarah kelab untuk layak beraksi dalam saingan Bundesliga buat pertama kali.

Tekanan beraksi buat pertama kali dalam saingan Bundesliga (2015/16) tidak langsung dihiraukan Hasenhuttl dan anak buah apabila ‘Die Schanzer’ berjaya mengelakkan dari tersingkir kembali ke 2.Bundesliga selepas menamatkan saingan di tangga ke-11.

Kejayaan yang boleh dikatakan cukup bermakna tidak cukup untuk melihat Ralph Hasenhuttl terus membimbing kelab kerana beliau memilih untuk meninggalkan Ingolstadt 04.

LEIPZIG, GERMANY – APRIL 05: Ralph Hasenhuttl, head coach of RB Leipzig shouts to Timo Werner of RB Leipzig during the UEFA Europa League quarter final leg one match between RB Leipzig and Olympique Marseille at Red Bull Arena on April 5, 2018 in Leipzig, Germany. (Photo by Lukasz Laskowski/PressFocus/MB Media/Getty Images)

RB Leipzig

Hasenhuttl diberikan tanggungjawab bagi membimbing kelab yang dinaikkan pangkat ke Bundesliga ketika itu iaitu RB Leipzig.

Nama beliau terus menjadi sebutan setelah pencapaian hebat yang dikecapi dengan membawa RB Leipzig ke saingan Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2017/18 apabila menamatkan saingan Bundesliga di tempat kedua.

Musim seterusnya memperlihatkan penurunan namun RB Leipzig masih mampu berada dalam kelompok enam pasukan teratas Bundesliga apabila menduduki tangga ke-6 saingan liga.

Sama seperti Ingolstadt 04, Hasenhuttl memilih untuk tidak menyambung kontrak dan meninggalkan kelab pada bulan Mei lalu.

Taktikal Ralph Hasenhuttl

Menurut sumber Goal, beliau merupakan seorang pengurus yang tidak mementingkan penguasaan permainan buat pasukannya dan dilabelkan sebagai ‘anti-Guardiola’.

Falsafah yang menjadi keutamaannya adalah menguasai corak permainan menekan menerusi serangan balas pantas apabila mereka menguasai bola.

Kenyataan ini terbukti apabila ketika RB Leipzig muncul naib juara saingan Bundesliga, ketepatan hantaran buat pasukannya adalah sekadar 75% sahaja.

Kebanyakkan jaringan yang dicipta adalah menerusi ‘through ball’ yang mencari Timo Werner.

Keadaan yang mungkin dapat diimplementasikan buat skuad baharunya (Southampton) dengan menggunakan kelebihan dimiliki James Ward-Prowse dan Stuart Armstrong yang mampu melakukan hantaran yang cukup baik bagi memberikan peluang buat Danny Ings merobek gawang lawan.

Sepanjang bergelar pengurus juga, Hasenhuttl tidak terlalu boros berbelanja ketika jendela perpindahan dibuka dan ia ternyata bersesuaian dengan polisi yang diamalkan Southampton ketika ini.

Beliau lebih gemar membangunkan pemain sehingga meningkat berbanding merekrut pemain bintang sedia ada.

Rumusan

Ini menunjukkan bahawa beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk membimbing pasukan yang tidak dibarisi para pemain nama besar.

Diharapkan kecemerlangan beliau bersama kelab-kelab yang dibimbing terdahulu dapat diteruskan bersama Southampton.

Sangat menarik untuk disaksikan sumbangan yang bakal diberikan Ralph Hasenhuttl.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN