Didakwa Ke Kasino, 3 Lagi Pemain Singapura Bakal Didakwa Langgar ‘Arahan Berkurung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
singapura sukan sea 2019 langgar arahan berkurung

Beberapa hari lalu, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) telah mendedahkan enam pemain melanggar ‘arahan berkurung’ di Sukan SEA dan turut mendedahkan nama pemain yang terlibat.

Mereka yang terlibat adalah dua pemain berusia 22 tahun, Zharfan Rohaizad dan Joshua Pereira, Lionel Tan, Zulqarnaen Suzliman dan Kenji Rusydi (22 tahun) dan juga Tajeli Salamat (25 tahun).

Hasil siasatan lanjut, tiga lagi pemain turut dikatakan terlibat dalam pelanggaran arahan tersebut pada 1 Disember lalu dan didakwa telah ke Solaire Resort and Casino, berhampiran hotel penginapan mereka selepas tewas 0-3 kepada juara bertahan, Thailand.

“Dalam kes berkaitan enam pemain bola sepak B-22 Singapura yang didapati melanggar ‘arahan berkurung’ ketika Sukan SEA, selepas siasatan lanjut oleh pihak FAS, tiga lagi pemain turut didapati bersama mereka melakukan kesalahan tersebut.

“Shah Shahiran, Hami Syahin dan Saifullah Akbar juga akan berdepan tindakan disiplin bersama enam lagi pemain,” memetik kenyataan tersebut yang telah diterbitkan oleh Straits Times.

Ini menjadikan sembilan pemain daripada 20 pemain yang telah dibawa ke Filipina untuk Sukan SEA kali ini terlibat dengan kes disiplin tersebut dan bakal dihadapkan ke Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) untuk pendengaran kes.

Presiden FAS, Lim Kia Tong menyatakan yang tindakan pemain-pemain tersebut sangat memalukan dan tidak boleh diterima.

Tambahnya lagi, “Tindakan mereka boleh dianggap melanggar dan mengabaikan etika pasukan. Pada pertandingan yang seharusnya mereka fokus untuk membanggakan warga Singapura, tindakan mereka tersebut telah menjejaskan kemampuan dan moral pasukan. serta mereka telah mengecewakan seluruh negara.”

“FAS ingin mengulangi kenyataan yang tindakan mereka tidak dapat diterima dan mana-mana pemain yang disabitkan dengan kesalahan tersebut bakal berdepan tindakan tegas,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, FAS tidak akan lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes ini sehingga segalanya selesai. Pemain-pemain itu akan dihadapkan ke SNOC sejurus tiba ke Singapura.

Singapura menamatkan saingan di Sukan SEA 2019 dengan berada di kedudukan keempat Kumpulan B selepas mengumpul empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu keputusan seri serta tiga kekalahan. Singapura gagal mara ke separuh akhir.

Kredit Featured Image: TAMPINESROVERSFC.COM, JONATHAN CHOO, ST FILE