Di Sebalik Penamatan Tajaan Oleh TM & Apakah Yang Perlu Dilakukan MFL Seterusnya

Apa dah jadi? Penaja tarik diri. Kena cari penaja baru. Berapa pula nilai Liga Malaysia? Itu antara persoalan yang kini menyelubungi masa depan pertandingan bola sepak domestik negara.

Pada 1 Februari 2018, Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) – kini dikenali sebagai Malaysia Football League (MFL) – secara rasminya mengumumkan kolaborasinya bagi menaja Liga Malaysia. Penajaan ini diwakili oleh unifi, jenama konvergens utama di bawah TM – sebagai penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bersama bagi Piala FA bermula pada tahun ini sehingga tahun 2025.

Namun selepas hanya semusim, MFL memutuskan untuk menamatkan kontrak penajaan bersama TM – setelah khabar angin syarikat telekomunikasi terbesar negara itu enggan meneruskan kerjasama mulai bertiup menjelang tamatnya saingan pada musim lalu. Apa sebenarnya yang berlaku? Bagaimana sebuah entiti gergasi seperti TM sanggup menarik diri dari terlibat secara langsung dengan industri bola sepak negara?

Tiada lagi unifi Liga Super Malaysia 2018

Pelaburan tidak berbaloi?

Tidak boleh dipastikan sebab utama mengapa TM menarik diri sebagai penaja utama Liga Malaysia pada musim ini. Namun, berdasarkan titah Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pihak kerajaan dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) itu mempunyai agenda dan kepentingan lain yang perlu diberi perhatian selain daripada bola sepak.

Atau dengan kata lain, adakah TM bertanggapan pelaburan mereka di dalam bola sepak tidak memberi pulangan yang mereka kehendaki?

Seperti yang diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam semalam, pihak mereka kini sedang giat melakukan perbincangan dengan beberapa syarikat lain yang berpotensi untuk menjadi penaja baru.

Persoalannya seterusnya ialah: Adakah bakal penaja ini melihat bola sepak sebagai pelaburan yang boleh memberikan pulangan? Berapakah pulangan yang mereka boleh perolehi? Berapa besar pelaburan (tajaan) yang harus mereka labur? Sejauh manakah keyakinan mereka terhadap industri bola sepak negara?

Apa itu pelaburan?

Sebelum kita pergi lebih jauh, ayuh kita fahami makna pelaburan. Di dalam konteks bola sepak di Malaysia, MFL adalah badan empunya bisnes. Manakala pelaburan bererti penajaan. Di dalam pelaburan jenis apa sekali pun, keuntungan adalah sasaran utama. Di dalam konteks pihak yang tampil sebagai penaja di dalam bola sepak, keuntungan boleh disamakan dengan dividen atau pun pulangan yang mereka perolehi.

Hakikatnya, perniagan di dalam bola sepak berskala nasional seperti Liga Malaysia mempunyai sedikit perbezaan dengan perniagaan-perniagaan fizikal lain yang memiliki urusniaga secara terus.

Illustrasi perniagaan di dalam bola sepak.

Tatkala perniagaan fizikal membenarkan pulangan diagihkan kepada pelabur secara terus melalui kadar keuntungan yang diumumkan pada suku-suku tertentu tahunan – bola sepak pula adalah sebaliknya. Satu-satunya persamaan yang ada di antara perniagaan-perniagaan ini dan bola sepak ialah ia tetap memerlukan ‘keyakinan daripada pelabur’.

Bagaimana MFL boleh menarik keyakinan pelabur selepas penarikan diri TM? Atau bagaimanakah MFL boleh mengelakkan perkara sama (penarikan diri penaja) dari berulang?

Keyakinan kepada produk

Bagaimana  MFL boleh meyakinkan bakal pelabur? MFL hanya boleh meyakinkan bakal penaja dengan produk yang mereka miliki – waima Liga Malaysia.

Konsep produk di dalam bola sepak adalah pelbagai. Pasukan-pasukan (persatuan-persatuan) bertanding ibarat cawangan kepada bisnes yang dibina MFL. Pemain-pemain adalah produk milik pasukan. Begitu juga dengan 132 perlawanan unifi Liga Super yang berlangsung sepanjang musim -yang boleh dianggap sebagai produk premium dari MFL.

Selain Liga Super, MFL turut mempunyai saingan Liga Premier, Liga M3 sehingga M5 yang dinaungi Amatuer Football League (AFL) – badan pentadbir di bawah seliaan MFL – dan juga dua tiga pertandingan perebutan piala iaitu Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA, dan juga Piala Malaysia. Semua ini adalah produk yang dimiliki oleh MFL dan boleh digunakan untuk memberi keyakinan kepada pelabur.

Bagaimana MFL boleh menggunakan produk-produk ini untuk memberi keyakinan kepada pelabur?

MFL perlu pemasaran pro aktif

Antara yang paling berkesan untuk dipasarkan ialah dengan menghangatkan ‘perseteruan’ di dalam bola sepak. Apakah maknanya dengan menghangatkan perseteruan?

Menghangatkan perseteruan di dalam konteks ini bukan bermaksud untuk mencetuskan provokasi terhadap mana-mana penyokong pasukan bertanding. Sebaliknya ia adalah untuk menghangatkan suasana sesuatu perlawanan yang dianggap ‘panas’ – bertujuan untuk menarik lebih banyak perhatian dari peminat bola sepak seluruh negara dan juga serantau.

Der Klasiker di Bundesliga

Contoh terhampir yang boleh kita lihat ialah perlawanan Der Klasiker yang akan berlangsung pada hujung minggu ini. Bundesliga mungkin bertuah kerana kedudukan liga yang menyaksikan dua pesaing utama – Borussia Dortmund dan Bayern Munich – hanya dipisahkan dengan jarak dua mata tatkala saingan berbaki tujuh perlawanan.

Akaun media sosial Bundesliga menggunakan ‘cover photo’ Der Klassiker sebagai langkah promosi.

Tetapi terma ‘Der Klasiker’ bukan baru wujud pada hari ini. Bermula pada era 1990an, selepas kebangkitan Dortmund mencabar dominasi Bayern di pertandingan domestik, pertemuan kedua-dua pasukan tetap dianggap klasik kerana perseteruan yang pernah wujud.

Menggunakan medium yang memudahkan capaian, Bundesliga turut giat mempromosi perlawanan tersebut melalui rangkaian media sosial milik mereka.

Bayangkan reaksi penyokong kedua-dua pasukan di media sosial. Itu bukan perkara yang harus dihiraukan oleh Bundesliga kerana apa yang penting ialah misi utama untuk menjaja produk telah berjaya mereka lakukan. Mereka berjaya menarik perhatian lebih ramai peminat bola sepak khusus untuk perlawanan tersebut.

Ini juga bermakna tontonan akan meningkat, sekaligus memberi lebih banyak liputan untuk penaja-penaja terlibat.

Di atas adalah contoh yang telah dilakukan oleh Bundesliga – dengan menghasilkan konten ringkas dan kreatif di media sosial milik mereka.

El Clasico di La Liga

Forbes dalam satu laporan mengatakan pertembungan El Clasico di La Liga menarik perhatian sehingga 400 juta penonton dari seluruh dunia beberapa tahun yang lalu. Kini perlawanan tersebut menarik perhatian tidak kurang 650 juta tontonan. Salah sebuah syarikat penyiar di Amerika Syarikat pula menganggarkan tontonan sehingga 1 billion – untuk perlawanan ini sahaja.
Tidak boleh dinafikan, El Clasico adalah produk terbaik La Liga. Walaupun ada kalanya Real Madrid atau Barcelona melalui prestasi tidak menentu dalam saingan domestik dan eropah, tumpuan tetap masih terarah kepada perlawanan ini – menjadikan ia sebagai perlawanan yang sentiasa dinanti-nantikan setiap tahun.

Derbi di EPL

Perkara sama juga di England. Derbi Barat Laut diantara Liverpool dan Manchester United pada Mac 2015 menarik minat 700 juta penonton menyaksikan perlawanan ini. Tahun berikutnya ia meningkat kepada 901 juta tontonan.

England juga memiliki beberapa perlawanan lain yang boleh dianggap sebagai produk yang boleh dijaja untuk menarik perhatian mana-mana penaja dari seluruh dunia. Manchester derby misalnya adalah salah satu perlawanan terpanas di negara tersebut.

Kerana Cristiano Ronaldo

Itali turut memiliki deretan perlawanan yang boleh dianggap sebagai perseteruan. Namun kehangatan saingan Serie A sedikit sebanyak malap akibat prestasi skuad kebangsaan mereka di pentas antarabangsa. Ini mendorong ramai pelabur menarik diri. Penyiar siaran digital negara, Astro turut pernah menghentikan penyiaran siaran langsung perlawanan Serie A, sehinggalah ia kembali disiarkan pada tahun ini.

Sedikit sebanyak ia turut dipengaruhi oleh perpindahan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dari Real Madrid yang menyertai Juventus pada musim panas yang lalu.

Tatkala contoh lain di Bundesliga, La Liga dan EPL menampilkan perlawanan-perlawanan panas sebagai produk utama liga, Serie A menampilkan pemain bertaraf dunia untuk menarik perhatian penyokong tempatan dan dunia untuk kekal relevan.

Contoh dari liga serantau

Anda mungkin menertawakan jersi pasukan-pasukan di Liga 1 Indonesia yang seakan-akan ‘papan iklan’ – kerana penuh dihiasi dengan nama penaja. Tetapi pernahkah anda bertanya, bagaimana mereka mampu menarik sebegitu banyak penaja?

Liga Thailand mungkin dianggap sebagai liga terbaik di rantau Asia Tenggara pada ketika ini dari segi penghasilan pemain berkualiti. Namun jika ditolak keganasan yang sering berlaku di kalangan penyokong, aspek lain seperti keterujaan, kehangatan, dan juga drama membuatkan Liga 1 Indonesia sebagai saingan yang lebih menarik.

Pernah menarik perhatian penulis antarabangsa, John Duerden yang melakukan perbandingan liga-liga di rantau Asia Tenggara melalui artikel di Fox Sport, beliau menyifatkan Liga 1 Indonesia sebagai kompetitif dan juga rancak. Untuk itu, Indonesia harus mengucapkan terima kasih kepada kesungguhan dan semangat yang dipamerkan oleh penyokong-penyokong bola sepak di negara berkenaan.

Selain daripada perseteruan Persija Jakarta dan Persib Bandung yang sentiasa mengundang tumpuan seluruh negara, Liga 1 Indonesia juga mempunyai pasukan-pasukan lain yang mampu melakukan kejutan seperti Bhayangkara yang hanya wujud pada 2016. PSM Makassar juga menunjukkan prestasi konsisten mencabar Persija pada musim ini.

Kesimpulannya, Liga 1 Indonesia berjaya menarik perhatian ramai penyokong sekaligus menarik pelabur bersama-sama pasukan dan badan penganjur memajukan pertandingan domestik di negara tersebut.

Konteks di Malaysia

Di dalam konteks Liga Malaysia, beberapa perlawanan Liga Super juga berpotensi untuk menjadi bahan pemasaran mantap oleh MFL. Sebagai contoh ialah perlawanan diantara Selangor vs JDT yang berjaya menarik perhatian lebih 30,000 penyokong ke stadium tempoh hari.

Begitu juga perlawanan membabitkan Kedah vs JDT – pertembungan dua seteru yang sentiasa panas disebabkan faktor-faktor lain di luar padang. Begitu juga perlawanan-perlawanan lain seperti Pahang vs Selangor yang mempunyai nostalgia lama, atau pun pertembungan Derbi Borneo antara Sabah dan Sarawak yang turut mampu mencuri tumpuan penyokong dari kedua-dua negeri.

Cadangan kepada MFL

Sebagai cadangan kepada MFL, mereka juga boleh bekerjasama dengan media-media di dalam negara untuk tujuan promosi perlawanan-perlawanan ini secara pro aktif. Semakin besar liputan, maka semakin banyak sesuatu perlawanan itu mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Antara cabaran dihadapi oleh pihak media ialah kurangnya data dalam bentuk statistik melibatkan pasukan-pasukan di Liga Malaysia, dan ini merupakan salah satu aspek dimana MFL boleh bekerjasama secara langsung dengan pihak media.

Kerjasama secara langsung diantara media dan MFL bermakna produk yang dijaja boleh dipasarkan secara lebih meluas.

Semakin banyak perlawanan-perlawanan ini mendapat liputan, semakin banyak perhatian diterima di kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan. Secara tidak langsung, ini memberikan keyakinan kepada bakal pelabur dan penaja – bahasawasanya mereka turut boleh memasarkan jenama mereka dari produk yang MFL pasarkan.

Penutup

Kami mengakui perkara ini tidak mudah dilaksanakan dan tidak mungkin akan berjaya sekelip mata. Namun kami percaya Liga Malaysia mempunyai potensi jauh untuk dipasarkan, sekaligus mampu menarik mana-mana pelabur satu hari nanti.

Apa yang paling penting ialah usaha. Artikel ini sekadar melemparkan cadangan. Bukan untuk membidas atau menyalahkan sesiapa. Apa yang sudah terlepas, biarkan ianya pergi. Apa yang boleh kita usahakan, kita mulakan dari sekarang.

Berbalik kepada soalan di atas, berapakah nilai Liga Malaysia? Itu bergantung kepada berapa menariknya produk yang anda tawarkan.

 

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak mewakili pandangan Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN