“Di Mana Karlsten Neitzel?” – Michael Feichtenbeiner Ketua Jurulatih Baharu Selangor FC

Michael Feichtenbeiner sah dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Selangor FC untuk musim 2022.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal kelab, Dato’ Seri Shahril Mokhtar melalui satu kenyataan pada petang ini.

Perlantikan Michael Feichtenbeiner itu turut menjadikan khidmat pengendali terdahulu, Karlsten Neitzel menjadi tanda tanya.

Masih memiliki baki kontrak setahun bersama Selangor FC, status Karlsten Neitzel bersama Selangor FC belum lagi diketahui.

Michael Feichtenbeiner bukanlah watak asing di Selangor FC. Beliau pernah mengendalikan skuad utama Selangor FC sebagai pengendali interim pada musim lalu, apabila mengambil tanggungjawab tersebut daripada B Sathianathan.

“Kami pernah melihat kemampuan Michael yang ditampilkan ketika bergelar pengendali sementara pada penghujung musim lalu,” kata Dato’ Seri Shahril Mokhtar melalui kenyataan tersebut.

“Menggandingkan gabungan pemain muda dan senior, dan bermain bola sepak high pressing dan transisi pantas sememangnya adalah apa yang Selangor FC mahukan.

“Ia adalah segaris dengan visi kami untuk membina sebuah pasukan yang mantap untuk masa depan. Kami yakin di bawah kepimpinan beliau, kita semua menuju ke arah yang dimahukan.”

Kemampuan Michael Feichtenbeiner mulai mendapat perhatian ketika apabila pernah membimbing kelab Divisyen 2 Jerman, Stuttgarter Kickers mengejutkan gergasi Bundesliga seperti Borussia Dortmund dan SC Freiburg.

Turut pernah membimbing MPPJ FC pada musim 2005-2006, pengalaman lain Michael di rantau Asia Tenggara ialah ketika bersama Bintang Medan FC pada 2010-2011.

Beliau turut pernah berkhidmat bersama Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan melatih skuad B-15 dan B-17 negara berkenaan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply