Di Ambang Pemecatan, Frank Lampard Akui Tak Bimbang

Frank Lampard

Pengurus Chelsea, Frank Lampard mengakui tidak bimbang dengan kemungkinan dirinya akan dipecat susulan prestasi hambar yang dipamerkan skuad bimbingannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada ketika ini.

Nasib Lampard pada musim keduanya di Stamford Bridge seperti ‘telur di hujung tanduk’ apabila The Blues tewas empat daripada enam perlawanan yang dilalui. Yang terbaharu, mereka tunduk 1-3 di tangan Manchester City pada aksi awal pagi tadi.

Perkembangan terkini itu pastinya membuatkan masa depan Lampard bersama kelab yang sudah cukup sebati dengan jiwanya itu semakin terancam selepas pemilik pasukan, Roman Abramovich telah memberikan kebebasan kepadanya untuk berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas tempoh hari.

Sudah mula kedengaran spekulasi yang mengatakan Chelsea pada ketika ini sedang mencari individu sesuai untuk menggantikan pengurus berusia 42 tahun itu.

”Saya tidak akan bercakap bagi pihak orang atasan atau pun Ahli Lembaga Pengarah,” ujar Lampard menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Saya tidak boleh menjawab pertanyaan tentang kontrak saya dan keputusan yang sukar untuk diambil, saya hanya bercakap sebagai pengurus kelab ini.”

”Saya tidak bimbang mengenainya [dipecat]. Saya hanya bercakap kepada pasukan selepas perlawanan tentang apa yang saya jangkakan  mengenai tempoh kesukaran ini. Saya tahu ianya bukan mudah.”

”Sebulan lalu, orang bertanyakan bila saya akan menerima kontrak baharu. Tekanan tetap berterusan. Tugas saya ialah untuk terus bekerja dan memilih pemain.”

”Saya menghadapi masa sukar pada tahun [musim] lalu. Mungkin saya mempunyai beberapa keadaan yang orang tidak melihat perkara sama tetapi saya menikmati prestasi baik pada November dan kami tewas tiga perlawanan di laman sendiri pada bulan Disember.”

Saingan liga akan berehat seketika bagi memberikan ruang kepada Piala FA di mana Chelsea akan berhadapan Morecambe pada hari Ahad nanti dan Fulham menanti di Craven Cottage pada 16 Januari.

Chelsea perlu menewaskan musuh setempat itu dalam kembali meyakinkan para peminat dan kemenangan juga amat penting bagi menyelamatkan masa depan Lampard bersama kelab tersebut.

Kredit featured image: Marc Atkins/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Frank Lampard:

Frank Lampard: Pemain Saya Kurang Karakter, Perlu Ada Perubahan

Frank Lampard: Saya Pun Tak Mampu Beraksi Seperti Thiago Silva Pada Usia 36 Tahun

Frank Lampard: Status Sebagai Legenda Kelab Tak Buatkan Saya Kebal Dari Kecaman

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply