Devan Akui PJ City Bermain Taktikal Bertahan Selepas Dickson Nwakaeme Dimasukkan

Kejayaan kelab Petaling Jaya City (PJ City) mengikat juara Piala FA 2018, Pahang dengan jaringan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam mendapat pujian daripada pengendali pasukan itu, K. Devan.

Bercakap dalam Harian Metro, beliau berpuas hati dengan prestasi pemainnya terutamanya barisan pertahanan yang berjaya mengekang rangkaian serangan skuad tok gajah.

“Biarpun kami banyak bertahan pada babak kedua, komitmen tinggi semua pemain berjaya menyekat tuan rumah daripada mengutip tiga mata.

“Saya puji semua pemain terutama penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad yang beraksi cemerlang dan menafikan beberapa percubaan berbahaya Tok Gajah,” katanya.

FOTO: Pahang FA

Beliau turut mengakui terpaksa mengubah taktikal pasukan kepada bertahan selepas Dollah Salleh memasukkan Dickson Nwakaeme dan Saddil Ramdani pada separuh masa kedua.

“Saya juga akui sebaik Pahang memasukkan Dickson Nwakaeme pada babak kedua, saya terpaksa menukar taktikal kerana sedar kemampuan penyerang terbabit. Ternyata, taktikal bertahan yang dilakukan berhasil apabila tuan rumah gagal menambah jaringan,” jelasnya.

Pada perlawanan itu, gol pendahuluan PJ City dijaringkan bekas pemain kebangsaan, Mohd Safee minit ke-32 sebelum Eduardo menyamakan kedudukan pada minit ke-49.

FOTO: Pahang FA

Sementara itu, Dollah Salleh mengakui kecewa kerana gagal mengutip 3 mata penuh. Keputusan seri itu menyebabkan skuad Tok Gajah terlepas peluang untuk kembali memintas kedudukan teratas Liga Super selepas lapan perlawanan .

“Perasaan hampa itu sememangnya ada kerana kita perlu menang untuk kembali berada di takhta liga tetapi pemain gagal mencapai misi itu. Sebenarnya, kita mempunyai banyak peluang menjaringkan gol tetapi faktor ketumpulan di bahagian serangan menyebabkan tiga mata terlepas.

“Corak bertahan dipersembahkan lawan juga menafikan Pahang untuk menambah jaringan terutama pada babak kedua. Dalam permainan bola sepak jika bermain bagus sekali pun tetapi gagal menjaringkan gol, ia tidak bermakna,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram