Derbi Della Mole: Permusuhan Juventus Dan Torino Dimulakan Manifestasi Semangat Ploretariat vs Bangsawan

Permusuhan Juventus dan Torino terus mekar di dalam Derbi della Mole. Ia juga dikenali sebagai Derbi Torino ataupun Derbi Turin oleh media antarabangsa.

Walaupun pada hari ini, derbi ini tidak begitu mendapat perhatian daripada peminat bola sepak seluruh dunia mahupun penyiar bola sepak antarabangsa berbanding derbi lain – anda jangan terpedaya menganggap derbi ini hambar – ini kerana derbi ini memiliki roh dan suhu panasnya tersendiri walaupun tidak seganas Derbi Della Capitale.

Kenapa digelar Derbi Della Mole?

Derbi ini diambil sempena nama bangunan di kota Turin iaitu Mole Antonelliana (gambar). Bangunan Mole Antonelliana ini antara tarikan pelancong di Bandar Turin.

Derbi della Mole adalah derbi tertua dalam bola sepak Itali. Pada hari Derbi della Mole, seluruh masyarakat Turin akan tertumpu kepada stadium tempat berlangsungnya acara bola sepak di antara Juventus dan Torino.

Juventus memiliki banyak seteru dan beberapa siri derbi antara kota. Antaranya Derbi d’ Italia – Juventus vs Inter – yang kerapkali menjadi acara tumpuan setiap musim dalam bola sepak Itali. Sebagai perbandingan, derbi Turin ini berlipat ganda lagi penting bagi penyokong Juventus berbanding dengan mana-mana perseteruan yang lain.

Setiap gol dirai dengan ego, setiap kemenangan simbol penguasaan bandar sehingga derbi seterusnya, setiap kekalahan itu terlalu parah lukanya, dan setiap insiden keci akan menjadi besar – apatah lagi insiden yang memang besar.

Sejarah awal

Juventus ditubuhkan pada 1897 di Turin oleh sekumpulan pelajar sekolah tinggi. Ianya salah satu kelab tertua di Itali. Pada ketika awal penubuhannya, Juventus dianggap pasukan kelas tinggi dalam tingkat ekonomi – kerana menerima dana daripada saudagar kereta yang memonopoli pasaran kereta di Itali ketika itu – keluarga Agnelli.

Anda pernah dengar? Ya, pemilik Fiat itu adalah keluarga Agnelli yang sama. Keluarga Agnelli ini sangat kaya dan memiliki hubungan yang baik dengan golongan elitis aristokrat ataupun borjouis di Itali. Mereka sangat berpengaruh termasuk kepada kerajaan pemerintah.

Torino pula ditubuhkan pada 1906 oleh golongan proletariat ataupun kelas pekerja di Turin. Mereka menganggap; mereka mungkin miskin wang tetapi mereka kaya dengan sokongan.

Pada awal penubuhannya, Torino berhadapan dengan masalah dana sehinggalah pelabur dari Swiss – Alfred Dick datang membantu mereka untuk menstabilkan kelab bola sepak Torino.

Derbi Della Mole pertama

Perlawanan derbi pertama di antara Juventus dan Torino adalah pada 13 Januari 1907. Dalam perlawanan pertama ini sahaja sudah berlaku insiden panas apabila penyokong Juventus dilaporkan mengurung Alfred Dick di bilik persalinan.

Mereka melarang Afred Dick menyaksikan perlawanan itu. Oleh itu Alfred Dick hanya mendengar kemaskini daripada pemain simpanan dan pegawai beliau.

Pasca perang dunia kedua

Selepas perang dunia kedua, perseteruan 2 kelab ini semakin panas. Ini kerana penyokong mulai menjadikan derbi ini sebagai ‘perperangan’ di antara kelas sosial.

Sejarawan Jim Heddlesten dalam catatan beliau menyatakan: “Orang Itali kini bertembung sesama sendiri, kadangkala membuatkan tentera tiada pilihan.”

Jim menggambarkan betapa teruknya konflik di antara golongan borjouis (bangsawan/aristokrat) dengan kelas pekerja. Bangsawan di sini bukan sahaja merujuk kepada golongan diraja tetapi merujuk juga kepada mereka yang kaya raya dan berkuasa.

Perbezaan ideologi di kalangan kelas sosial dan kelas ekonomi di Itali ketika itu memuncak dan mustahil untuk membendungnya. Di kota Turin, pertembungan ideologi ini diterjemahkan di dalam padang. Torino membawa semangat proletariat manakala Juventus dengan semangat bourgeoisie.

Masuk ke tahun 1960-an berlaku migrasi secara besar-besaran ke Turin. Ini yang telah mempengaruhi keseimbangan komposisi para penyokong di kedua-dua pasukan ini.

Berdasarkan tinjauan dilakukan di Itali, di bandar Turin, majoriti penduduk tempatan di sana penyokong Torini berbading dengan Juventus yang lebih banyak disokong secara global. Ini kerana kuasa publisiti dan ekonomi yang ada pada Juventus.

Pada 1923, Juventus berpindah ke stadium baharu.  Pada era 1930-an, Juventus mulai menjadi kuasa besar dalam bola sepak di Itali. Mereka ketika itu menang 5 kejuaraan Serie A berturut-turut. Sama seperti dominasi mereka pada dekad ini di Itali.

Trofi yang mereka miliki hari ini telah membuatkan Juventus semakin popular di seluruh dunia berbanding dengan seteru mereka Torino.

Il Grande Torino

Pada 1940, Torino menjadi kuasa besar bola sepak Itali yang menjadi kebanggaan kelas pekerja. Mereka memiliki pasukan digelar Il Grande Torino. Pada era ini Juventus kemarau kejuaraan selama sedekad.

Torino pula menang 5 Serie A berturut-turut. Bukti orang golongan pekerja bola melakukan perkara yang sama dengan bangsawan meskipun tidak memiliki dana yang tak pernah habis seperti Juventus. Rekod kejuaraan 5 Serie A secara berturut-turut itu telah menyamaai apa yang dilakukan Juventus dahulu.

Namun sayangnya, pasukan Il Grande Torino ini berakhir dengan nahas pesawat yang mengorbankan kesemua penumpang. Antara pemain yang terkorban ialah Vito Mazzola yang dianggap pemain terbaik pada era beliau ketika itu.

Tragedi yang digelar Tragedi Superga ini telah memberikan kesan yang sangat teruk kepada Torino. Mereka bergelut untuk bangkit dan pada satu ketika mereka terjerumus ke Serie B.

Kebencian yang melampau

Sepertimana derbi lain di Itali, Derbi della Mole tak terlepas daripada hooliganisme dan kebencian serta fanatisme yang melampau. Berlaku beberapa insiden yang tidak diingini yang mencacatkan keindahan perseteruan ini.

Walaupun kita semua tahu – derbi ini panas dan semangat pemilikan bandar itu tinggi. Ianya bukan alasan untuk bertindak di luar batasan termasuk budaya hooligan dan kebencian sehingga memperlekehkan tragedi.

Torino benar-benar mengalami kejatuhan selepas Tragedi Superga. Namun ada antara penyokong Juventus menganggap ia satu keraian. Lalu wujudlah chant berbunyi: “Solo Superga Vi Ha Fatto Storia”, yang bermaksud: “Hanya [tragedi] Superga yang jadi sejarah kalian!”

Paling teruk ada penyokong Juventini yang menyanyi dengan gaya kapal terbang sambil berteriak: “Boom! Superga!”

Ultras Juventus mulai menganggap Ultras Torino sebagai picisan dan pasukan Torino sebagai ‘minor’ di bandar Turin. Maka tak hairanlah selepas tragedi Superga berlaku banyak sekali rusuhan penyokong di antara kedua-dua mereka.

Torino cuba bangkit semula dan membina semula pasukan. Salah seorang pemain penting dalam fasa pembinaan semula Torino ialah Luigi ‘Gigi’ Meroni. Beliau diaggap pemain paling berbakat dalam sejarah Torino. Malangnya Meroni meninggal secara tragis pada usia 24 tahun.

Juventus kemudiannya mengecapi kegemilangan mereka pada era Trapattoni. Juventus mendapat bintang emas pada jersi mereka selepas menjuarai Serie A ke-10 pada 1958. Di Itali 1 bintang emas adalah hadiah kepada setiap 10 kejuaraan Serie A. Pada hari ini Juventus sudah mendapat 3 bintang emas itu kerana sudah mencecah angka 30 Serie A.

Lebih lagi sakit apabila Ultras Juventus meraikan kematian legenda terulung Torino iaitu Gigi Meroni pada 1967. Meroni dianggap pemain paling lengkap ketika itu. Ketika dekad ini juga, Juventus sudah semakin meninggalkan Torino dari segi pencapaian bola sepak.

Namun Torino berjaya mendiamkan mulut Juventini dengan kemenangan membelasah Juventus 4-0 dalam derbi pertama mereka selepas kematian Meroni. Paling ironik, Nestor Combin (gambar – tengah) menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu – beliau menggunakan jersi no.7 yang menjadi jersi keramat Meroni.

Selepas tamat perlawanan itu, penyokong fanatik Juventus telah melakukan kerosakan di kubur Meroni. 18 tahun selepas layanan teruk penyokong Juventus kepada tempat persemadian Meroni, mereka dilanda tragedi.

Ultras Torino menganggap ia adalah sumpahan Meroni. Ini apabila 39 penyokong Juventus terkorban dalam tragedi Heysel – apabila penyokong Liverpool menyerang mereka.

Ultras Torino menyatakan mereka tidak akan pernah bersimpati kerana apa yang telah dilakukan oleh ultras Juventus ke atas tragedi Superga dan Meroni.

Satu lagi chant ofensif diwujudkan untuk derbi Della Mole berbunyi: “Berikan kami Heysel yang lain”. Sehingga ada yang membuat lagu: “39 di bawah tanah, hidup Inggeris!”

Era 90-an

Pada 1990, kedua-dua pasukan akhirnya berkongsi stadium iaitu di Delle Alpi. Walaupun semakin banyak kesedaran dan penentangan ke atas sikap fanatik yang memainkan tragedi, perseteruan antara penyokong tetap panas.

Beberapa acara dilakukan kedua-dua kelab untuk menyatukan penyokong supaya tidak terlalu fanatik dan melampaui batas. Namun perseteruan ini terus panas termasuk insiden di dalam padang. Banyak sekali insiden di dalam padang yang berlaku.

Antaranya, pada 2002, satu peristiwa di mana Enzo Maresca mendapat banyak ugutan bunuh daripada penyokong Torino. Beliau juga diberikan kawalan keselamatan khas selepas Derbi Della Mole.

Ianya kerana Maresca meniru keraian Marco Ferrante dengan gaya kerbau yang menjadi logo Torino.

Sebelum itu Ferrante menjaringkan gol dengan keraian tersebut. Pada kedudukan Juventus ketinggalan 2-1, Maresca menjaringkan gol dan mengajuk keraian Marco Ferrante.

Ferrante selepas tamat perlawanan berkata: “Memperlekehkan gaya tanduk dan kerbau, mungkin dulu beliau nak datang ke Torino jika tak dapat bermain di Juventus. Namun, jika beliau tak dapat bermain di Juventus, beliau pun tak dapat bermain di sini kerana kami tak perlukan pemain seperti itu di sini.”

Maresca menjawab: “Saya buat keraian tanduk kerana tak tahu macamana mahu membuat kuda belang.” – beliau merujuk kepada logo Juventus yang seperti kuda belang.

Stadium Delle Alpi kerapkali mengalami kerosakan teruk setiap kali Derbi Della Mole ini. Begitu juga dengan beberapa siri pergaduhan di jalanan di luar stadium. Selepas itu kedua-dua pasukan dipindahkan ke Stadium Olimpico sehinggalah Juventus memiliki stadium sendiri pada 2011.

Permusuhan Juventus dan Torino terus panas

Pada 1 Disember 2012, perlawanan pertama di Stadium Juventus, beberapa penyokong kedua-dua pasukan ditahan kerana vanalisme dan pergaduhan sebelum sepak mula.

Perlawanan pertama tersebut turut berlangsung panas di dalam stadium serba mewah Juventus termasuk kad merah. Beberapa penyokong lagi ditahan dan didenda kerana kain rentang yang ofensif serta merosakkan tempat duduk.

Derbi pernah hilang seri

Namun derbi ini mulai hilang serinya apabila Torino mengalami masalah kewangan yang teruk. Sehinggalah pada 2001/02, Torino kembali stabil.  Torino tersingkir sekali lagi ke Serie A pada 2004 dan Juventus pada 2006 giliran Juventus disingkirkan ke Serie B kerana skandal Calciopoli. Selepas skandal calciopoli, Ultras Torino memanggil Juventini dengan gelaran “Mafioso” (Mafia).

Selepas bangkitnya Juventus daripada calciopoli, mereka menjadi lebih kuat. Mereka mendominasi Serie A dan juga menjual dan kemudian memiliki pemain bernilai lebih €100 juta.

Torino kemudian bergelut untuk menewaskan Juventus pada era Conte dan Allegri. Walau apa sahaja jumlah trofi pada akhir musim, derbi ini adalah ukuran siapakan raja Turin sebelum perlawanan derbi satu lagi. Jadi, kekalahan dalam derbi ini sangat pedih untuk diterima oleh penyokong mereka.

Rumusan

Itulah serba sedikit tentang derbi Della Mole yang mendapat namanya daripada bangunan terkenal di bandar Turin. Ianya melibatkan Juventus dan Torino. Pada hari ini derbi ini bukanlah terlalu fanatik dengan perbezaan ideologi seperti dahulu, namun ianya tetap panas.

Perseteruan di atas padang serta di tempat duduk penyokong membuatkan perlawanan ini sentiasa diberikan kawalan keselamatan tambahan.

Pemenang akan menjadi raja di bandar Turin. Setiap penjaring gol terutama sekali penjaring gol kemenangan akan digelar wira dan diabadikan di dalam sejarah oleh penyokong serta media.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN