Dengan Pembatalan Liga M3, Hanya 10 Pasukan Bertanding Di Liga Premier 2022

Liga Super Liga Premier Liga-M

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan hanya 10 pasukan yang bakal bertanding dalam divisyen kedua Liga Malaysia, Liga Premier 2022.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang menyatakan bahawa keputusan itu dibuat berikutan Reserve Team, Perak II tersingkir secara automatik ke saingan Liga M3 selepas Parent Club, Perak turun pangkat bermain di Liga Premier musim 2022.

Kata Stuart, Perak menamatkan kempen di posisi ke-11 Liga Super 2021 sekali gus tersingkir ke divisyen 2 manakala pasukan berstatus Reserve Team secara automatik akan tersingkir daripada pertandingan sekiranya Parent Club mereka jatuh liga berdasarkan Manual Liga Malaysia Artikel 3.19.6 Peraturan Reserve Team.

Jelasnya lagi, Amateur Football League (AFL) juga telah membuat pengumuman pembatalan Liga M3 pada 14 September 2021 menyaksikan tiada pasukan daripada liga berkenaan dapat dipromosikan ke Liga Premier 2022 secara merit pertandingan.

Justeru, MFL membuat keputusan untuk menganjurkan Liga Premier dengan jumlah 10 pasukan sahaja pada tahun hadapan.

“Perak secara rasmi tersingkir daripada kejohanan Liga Super pada musim depan akan bermain di Liga Premier 2022 di mana Parent Club dan Reserve Team tidak boleh bersaing dalam satu kejohanan yang sama selaras Peraturan 3.19.6 Perkara 1.1 dan 1.2.

“Format Liga Premier sebelum ini menampilkan 12 pasukan tetapi MFL juga mengambil maklum dengan pengumuman pembatalan Liga M3 yang dilakukan oleh AFL pada 14 September lalu di mana pembatalan kejohanan tersebut menyaksikan tiada pasukan yang boleh dipromosikan ke Liga Premier 2022 secara merit pertandingan.

“Sehubungan itu, MFL akhirnya telah mencapai satu keputusan iaitu pertandingan Liga Premier bagi musim 2022 akan menampilkan jumlah 10 pasukan sahaja dalam satu liga,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Dengan ketiadaan Perak II, Liga Premier musim 2022 akan menampilkan Kuching City, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu II, Selangor 2, PDRM, Kelantan United, Kelantan, Skuad Projek FAM-MSN diikuti pendatang dari Liga Super, Perak dan UiTM

Sementara itu, dua pasukan teratas Liga Premier, Sarawak United dan Negeri Sembilan telah pun mengesahkan kemaraan mereka bertanding dalam kempen Liga Super 2022. – MFL

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply