Raumdeuter: Memahami Maksud Dan Peranan ‘Pentaksir Ruang’ Dalam Bola Sepak

Definisi Raumdeuter kerapkali dihuraikan secara lemah kerana ada pengulas yang cuba memecahkannya dari Thomas Muller.

Ketika Louis van Gaal mengemudi Bayern Munich, beliau tertarik dengan bakat yang ada pada Thomas Muller.

Lalu beliau membuat sedikit kerja rumah untuk melihat keupayaan dan corak permainan Muller. Van Gaal pernah mengiktiraf Thomas Muller sebagai pemain terpenting di dalam karier beliau.

Pengurus berbangsa Belanda ini melihat sesuatu yang istimewa dalam Muller. Beliau terus mengikat pemain muda ini dengan kontrak 3 tahun.

“Budak ini akan sentiasa bermain dalam pasukan saya,” kata van Gaal.

Muller bukan no.9

Ketika zaman mudanya, Muller dicop oleh jurulatih Jugendmannschaften (akademi Bayern Munich) sebagai pemain no.9. Tetapi van Gaal tidak berpendapat sebegitu.

Louis van Gaal sendiri tidak mampu menerangkan peranan Muller dengan istilah universal.

Kemudiannya pada tahun 2011 ketika ditemuramah di televisyen, Muller sendiri menggelarkan peranan beliau adalah raumdeuter.

Thomas Muller berkata tugas ramdeuter lahir daripada naluri semulajadinya. Bukan daripada latihan jurulatih atau pembangunan bakatnya sejak kecil.

Definisi raumdeuter

Raumdeuter bermaksud pentaksir ruang atau space investigator. Perkataan ini diilhamkan daripada perkataan traumdeuter yang bermaksud ‘pentafsir mimpi’ dalam bahasa Jerman.

Muller bukan jenis pemain sayap tradisional. Ini kerana Muller tiada kelajuan. Tetapi di posisi inilah Muller paling selesa.

Beliau juga bukan jenis pemain no.10 tradisional kerana tiada skil yang luar biasa. Tetapi di posisi inilah beliau paling bijak mencari ruang.

Beliau bukanlah no.9, tetapi apabila berada di dalam zon penyerang utama, di situlah juga beliau efektif.

Akhirnya Louis van Gaal menemui peranan sebenar Thomas Muller. Muller akan diberikan peranan bebas seperti pemain no.10. Tetapi di bahagian sayap, biasanya sayap kanan.

Tugas Muller di atas padang, bermain tanpa ada penekanan kepada peranan, arahan taktikal mahupun positioning.

Beliau bebas melakukan apa yang beliau mahu, dengan syarat beliau perlu kembali ke posisi pemain sayap apabila pasukannya kehilangan penguasaan bola.

Pada musim 2012/13, Muller telah menjadi watak penting untuk membantu Bayern Munich menjuarai Bundesliga. Diberi tugas sebagai ramdeuter dari sayap kanan, Muller menyumbang 12 gol dan 10 assists, 51 key passes daripada 25 penampilan.

Bagaimana Raumdeuter berfungsi?

Fasa serangan

Dari segi teori, Ramdeuter adalah posisi yang jauh lebih sukar untuk dikawal pertahanan berbanding posisi false nine yang sinonim dengan Lionel Messi.

Ini kerana posisi false nine hanya beroperasi di tengah. Raumdeueter pula boleh mencipta ancaman dan tekanan di semua kawasan. Tak kiralah di bahagian tengah ataupun bahagian sayap.

Ketika rakan-rakan sepasukannya yang lain sedang sibuk merancang serangan dengan membuat hantaran dan menggelecek, Muller pula sibuk ‘mentaksir ruang’.

Maksud mentaksir ruang adalah, Muller akan membaca serangan pasukannya sambil mencari ruang untuk menjaringkan gol. Kerjanya kedengaran mudah. Tapi memerlukan kebijaksanaan yang tinggi.

Menurut ketua jurulatih Jerman, Joachim Low:

“Thomas Muller akan berlari mengikut naluri beliau di dalam padang. Dan dia akan sentiasa menjaringkan gol dai mana-mana arah.”

Thomas Muller diibaratkan boleh masuk ke dalam kawasan yang sebesar lubang jarum sekalipun untuk menjaringkan gol.

Fasa bertahan

Ketika pasukannya kehilangan bola, Muller akan balik ke posisinya di bahagian sayap kanan untuk memberikan tekanan kepda bek kiri lawan. Beliau pemain yang sangat efektif di dalam pressing.

Ini membolehkan Bayern Munich mendapatkan semula penguasaan bola secepat mungkin.

Muller bermain semua posisi serangan

Dalam bahagian ini, kita akan melihat kebolehan Thomas Muller untuk bermain di pelbagai posisi.

Beliau boleh bermain di semua posisi serangan. Sama ada sebagai penyerang utama, penyerang kedua, pemain no.10, mahupun pemain sayap.

Ini adalah pecahan posisi beliau pada musim 2013/2014.

Statistik pecahan posisi dimainkan Muller dalam 30 perlawanan di Allianz Arena:

Posisi – Peratusan:

1. Penyerang utama – 30.0%,
2. Pemain tengah – 26.7%,
3. Sayap kanan – 23.3%,
4. Pemain no.10 – 13.3%,
5. Sayap kiri – 6.7%,

Statistik pecahan posisi dimainkan Muller dalam 33 perlawanan away:

Posisi – Peratusan:

1. Sayap kanan – 42.4%,
2. Pemain no.10 – 24.2%,
3. Penyerang utama – 18.2%,
4. Pemain tengah – 9.1%,
5. Sayap kiri – 6.1%,

Kualiti hantaran lintang Muller

Walaupun Muller sibuk mencari ruang untuk menjaringkan gol, beliau juga aktif mencipta peluang untuk pemain lain dengan hantaran lintangnya.

Dalam pasukan Bayern Munich, Thomas Muller memiliki nisbah hantaran lintang yang hampir sama dengan pemain sayap kanan atau kiri.

Semasa era Pep Guardiola, pengendali Sepanyol ini mengarahkan Muller untuk melakukan hantaran lintang dari zon half space berbanding dari zon sayap.

Disebabkan beliau tidak ada posisi yang jelas di dalam padang, kita perlu pecahkan posisi beliau kepada 2 posisi asas.

  1. Posisi tengah: penyerang utama, penyerang kedua, pemain no.10, pemain tengah
  2. Posisi sayap: sayap kanan, sayap kiri

Pada 2015, beliau melakukan 2.56 hantaran lintang untuk setiap perlawanan, sebagai pemain sayap. Dan 1.7 hantaran lintang per perlawanan sebagai pemain di posisi tengah.

Kadar statistik di atas jelas menunjukkan beliau sangat fleksibel. Muller berupaya memberikan servis kepada penyerang utama; sama ada dari zon sayap atau half space secara beterusan.

Ini yang menjadikan Muller sebagai pemain penting Guardiola kerana karakter permainan beliau yang sukar diramal dan efektif daripada pelbagai arah.

Selain itu beliau juga menepati falsafah fluid football Guardiola.

“Saya suka formasi yang ramai pemain di tengah. Pada masa yang sama saya mahukan Thomas Muller ada bermain.”

Video di bawah ini mungkin akan memberikan anda gambaran lebih jelas peranan Thomas Muller di dalam padang.

Rumusan

Amat sukar menerangkan peranan ini kerana ia berkaitan dengan kebijaksanaan individu (indvidual intelligence) berbanding latihan jurulatih.

Raumdeuter sangat semulajadi dalam mencipta ruang, menutup ruang dan juga apa sahaja yang berkaitan dengan ruang.

Jika pemain lain berlatih untuk mengisi posisi dalam pasukan senior, untuk kes Muller, jurulatih pula terpaksa mencipta posisi untuk beliau.

Buat masa ini istilah raumdeuter memang hanya untuk Thomas Muller. Tiada klon ramdeuter lain di dunia ketika ini.

Thomas Muller adalah Raumdeuter, dan Raumdeuter adalah Thomas Muller!

Ramdeuter adalah istilah khas untuk bakat genius seperti Muller. Secara jujurnya, ia bukan posisi dalam formasi bola sepak. Sebaliknya ciri-ciri istimewa yang ada pada pemain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN