Dedikasi Khas Ultras Tranung Menerusi Lagu ‘Engkaulah Jiwaku’ Buat Terengganu FC

Iklan

“Tranung! Terus perjuangan ini, Jangan pernah berhenti. Bawalah jiwa kami. Tranung! Terus perjuangan ini, Jangan pernah berhenti. Oh, Teranung sampai mati!” – Engkaulah Jiwaku by Ultras Tranung.

Syahdu sungguh bait-bait lirik yang telah dilontar menerusi sebuah lagu yang telah dikeluarkan oleh penyokong tegar Terengganu FC, Ultras Tranung, di laman Facebook mereka pada hari ini dan pastinya, ia ditujukan khas buat pasukan kesayangan mereka.

Dengan tajuk, ‘Engkaulah Jiwaku’, Ultras Tranung seakan-akan menyampaikan mesej kepada pasukan yang mereka akan sentiasa ada bersama pasukan walaupun terpaksa melalui onak dan duri sepanjang memberikan sokongan kepada Sang Penyu.

Dihimpit masalah tunggakan gaji pemain-pemain musim 2019 baru-baru ini, Terengganu bukanlah pasukan bermasalah jika dilihatkan perancangan sejak dijenamakan semula pada 2018.

Namun, masalah ini telah memberikan satu imej buruk kepada pengurusan Terengganu dengan bekas-bekas pemain seperti Syamim Yahya yang telah menjadikan isu ini semakin besar.

Ya, isu gaji sememangnya kita tahu sinonim dengan Liga Malaysia. Ia barah yang menular sejak zaman berzaman. Dan, wajar, tiada kompromi buat mana-mana pasukan sekalipun untuk tidak membayar atau melambatkan pembayaran gaji para pemain.

nafuzi zain terengganu fc 2020
FOTO: TFC

Menurut posting oleh Ultras Tranung itu, mereka mengingatkan kepada pihak pengurusan agar mengikut segala perancangan yang telah dicatur pada awal musim dan jangan tersilap langkah lagi.

Memetik kenyataan mereka, jika diikutkan perancangan awal, Terengganu akan mengetengahkan pemain-pemain muda untuk saingan musim 2020 dan di atas kertas, kelompok lima terbaik liga sudah cukup untuk memuaskan hati mereka sebagai penyokong.

“Ia adalah bonus jika kita meraih piala dan kejuaraan peringkat kalah mati,” jelas Ultras Tranung melalui posting tersebut.

Mereka tiada masalah jika permainan pasukan mengikut falsafah yang telah dirancang oleh pengendali, Nafuzi Zain tetapi, mereka turut mempersoalkan sejauh mata pasukan akan mengikut arah tuju dan perancangan tersebut untuk satu jangka masa panjang.

“Belajarlah daripada kesilapan lalu. Jatuh, rebah, sembam sekalipun kami penyokong Terengganu tetap sentiasa ada bersama.” ujar Ultras Tranung di akhir bicara pada posting tersebut.

Dengarkan lagu ‘Engkaulah Jiwaku’ by Ultras Tranung ini dan sama-sama kita hayati setiap apa yang disampaikan mereka.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram