DDM FC: Kebanggaan Taman Melawati, Tetap Menyerlah Walau Serba Kekurangan

DDM

Penyertaan DDM FC dalam saingan Liga M3 Malaysia 2019 mungkin dianggap oleh sesetengah pihak hanya sebagai pentas menimba pengalaman buat kelab yang berpengkalan di Taman Melawati ini.

Andai dibandingkan dengan nama-nama besar yang membarisi skuad Batu Dua FC, Puchong Fuerza FC dan Kelantan United, jelas sekali DDM FC tidak mempunyai ‘sumber’ sedemikian.

Tidak merasai erti kemewahan dan berjuang dengan sumber kewangan sendiri, DDM FC bagaimanapun tetap menyimpan misi besar untuk layak ke saingan Liga Premier 2020.

Lakar kejutan awal

Di atas kertas, DDM FC yang membawa maksud ‘Dak Dak Melawati Football Club’ itu sememangnya pasukan yang serba kekurangan tetapi semangat juang para pemain mereka tidak wajar dipandang enteng.

Ia terbukti selepas mengharungi lima perlawanan Liga M3, DDM FC menepis segala keraguan dengan aksi bertenaga sekaligus mencatatkan rekod kemenangan bersih dalam lima perlawanan tersebut.

Yazid Kamaruzuan tinggalkan futsal buat seketika untuk bawa cabaran DDM FC.

Lebih manis dua kemenangan yang diraih adalah kejayaan menumpaskan pasukan himpunan bintang, Batu Dua FC (2-1) dan Puchong Fuerza FC (4-2).

DDM FC ketika ini menghuni tangga teratas Liga M3 selepas mencatat 15 mata maksimum, meninggalkan Batu Dua FC ditempat kedua dengan 12 mata dan diikuti Kelantan United (10 mata).

Bergantung sepenuhnya pada pemain tempatan

Kelab yang diwakili sebahagian besar pemain dari Taman Melawati ini meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pemain tempatan bagi merealisasikan misi mereka untuk ke Liga Premier 2020.

Antara pemain yang menjadi sandaran utama buat DDM FC adalah Mohd Nurhamizaref Hamid dan Muhammad Hafiz Mohd Fauzi yang pernah beraksi buat Kelab Bola Sepak Perbadanan Negeri Perak (PKNP FC).

Di samping itu, pengaruh besar dimainkan pemain tengah, Muhammad Rizqi Azman yang juga merupakan abang kepada kapten Felda United, Hadin Azman benar-benar membantu pasukan.

Rizqi Azman (ketua pasukan), Yazid Kamaruzuan, Afif Asyraf & Norhamizaref.

Kelibat pemain futsal kebangsaan berdarah kacukan Australia, Yazid Kamaruzuan bersama-sama bekas pemain futsal kebangsaan, Muhammad Afif Asyraf Muhammad Halil turut menambah kekuatan DDM FC.

Norhamizaref dan Afif Asyraf masing-masing menjaringkan empat gol selepas lima perlawanan manakala Yazid pula telah mencatatkan empat bantuan jaringan.

Pendekatan yang diambil DDM FC  jelas berbeza dengan beberapa pasukan dalam Liga M3 yang membariskan pemain import bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.

Berjaya buka mata

Prestasi semasa yang ditampilkan DDM FC sudah pasti berjaya membuka mata banyak pihak dan kehadiran mereka akan lebih dinantikan.

Walaupun saingan Liga M3 baru sahaja menjengah perlawanan kelima, apa yang telah dipertontonkan oleh anak buah Azzlan Azzam ini nyata memberikan isyarat jelas bahawa DDM FC memandang serius saingan yang pertama kali diadakan ini.

Masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang penguasaan DDM FC dalam aksi liga tetapi sekiranya momentum cemerlang dipamer dapat dikekalkan, tidak mustahil ‘Dak Dak Melawati’ ini bakal menjadi pencabar hebat kepada pasukan-pasukan pilihan saingan Liga M3 musim ini.

Kredit foto: DDM FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN