David Oniya: Peringatan Dalam Pemergian

Tanggal 13 Jun 2015, dunia bolasepak negara digemparkan dengan berita kematian kapten pasukan T-Team David Faramola Oniya. Kematian beliau berpunca daripada serangan jantung secara mengejut.

Bagi Malaysia ini merupakan satu tragedi yang sangat mengejutkan.

Tetapi dalam bolasepak Eropah perkara ini sudah lama membelenggu pemain bolasepak. Ia bermula pada tahun 1889, William Cropper dari pasukan Staveley di England rebah ketika menentang Grimsby Town. Ketika itu beliau baru berumur 26 tahun.

Insiden sama juga turut berlaku kepada beberapa pemain ternama Eropah lain. Bekas pemain Lyon dan Manchester City, Marc-Vivien Foe meninggal dunia semasa mewakili Cameroon pada Piala Konfederasi 2003 kerana sebab sama.

 
Pada 2007, pemain Sevilla, Antonio Puerta rebah semasa menentang Getafe di La Liga dan akhirnya meninggal dunia selepas 3 hari di hospital.

 
Kajian FIFPro mengenai serangan jantung di kalangan pemain

Ekoran daripada perkara ini, Persatuan Pemain Bolasepak Antarabangsa (FIFPro) telah melakukan kajian mengenai serangan jantung di kalangan pemain bola sepak dunia. Hasil kajian tersebut menunjukkan sejak tahun 2008, lebih daripada 25 peratus pemain bolasepak telah meninggal dunia disebabkan oleh serangan jantung!

Ketika ini, terdapat beberapa mekanisme pencegahan kematian di peringkat antarabangsa telah dilaksanakan.

Pada tahun 2004, Suruhanjaya Perubatan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah memperkenalkan Protokol Loussana iaitu pemeriksaan perubatan fizikal sebelum pertandingan yang lebih dikenali dengan Pre-Competition Medical Assessment (PCMA) untuk mengelakkan kematian secara mengejut akibat serangan jantung dalam kalangan atlet dunia.

Dalam dunia bolasepak pula, perkara ini telah diperkenalkan dalam Piala Dunia 2006 oleh FIFA dengan mengambil prinsip yang sama dalam Protokol Loussana. UEFA juga turut menyerap masuk Pemeriksaan Perubatan Sebelum Pertandingan (PCMA) ke dalam Peraturan Perubatan mereka pada tahun 2013.

Namun sehingga sekarang, kita masih lagi dihujani dengan kes-kes kematian pemain bolasepak akibat daripada serangan jantung secara mengejut.

Badan penaung pemain bola sepak profesional Malaysia, PFAM dipetik dalam siaran media menyatakan pelan penambahbaikan perlu dilakukan dalam kadar yang segera agar kesihatan para pemain diberikan keutamaan khusus di masa hadapan.

Mengapa kematian pemain bola sepak akibat daripada serangan jantung secara mengejut masih berlaku?

PFAM telah menghubungi Dr. Vincent Gouttebarge, Ketua Pegawai Perubatan FIFPro berkenaan perkara ini. Menurut PFAM, beliau sendiri melahirkan rasa bimbang terhadap PCMA ini kerana:

1) Kesahihan kualiti dan tafsiran keputusan pemeriksaan perubatan sebelum pertandingan masih lagi boleh dipertikaikan.

2) Tidak ada satu prosedur pemeriksaan yang standard kepada setiap negara untuk mengikut bukti saintifik yang terbaru.

3) Pemeriksaan perubatan sebelum perlawanan bukanlah mandatori dalam beberapa peringkat professional seperti liga domestik.

Pandangan Jonathan McKain mengenai tragedi yang berlaku

Jonathan McKain, pemain Kelantan yang berada di atas padang semasa tragedi itu berlaku, telah menyuarakan pandangannya kepada PFAM berkenaan hal ini.

mckainkelantanoniya

 

Beliau yang merupakan bekas Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Australia, berkongsi EMPAT MASALAH yang timbul ketika tragedi David Oniya ini berlaku:

1) Tiada pegawai perubatan yang bertugas semasa perlawanan berlangsung.

2) Bagaimana mendiang boleh dibenarkan bermain dengan keadaan beliau yang baru sahaja terlibat dengan kecederaan yang serius dibahagian kepala.

3) Masalah dari segi kelewatan tindakan serta merta oleh pasukan perubatan ke dalam padang akibat daripada pemandu ambulan yang duduk di kawasan penonton untuk menonton perlawanan.

4) Para pemain di atas padang tidak mempunyai sebarang pengetahuan sekiranya berhadapan dengan situasi kecemasan seperti dalam kes ini.

McKain menegaskan keempat-empat masalah ini perlu diperbetulkan supaya kita dapat menangani perkara ini dengan tepat jika perkara ini berulang semula.

Cadangan penambahbaikan oleh ketua pegawai perubatan FIFPro

Ketika dihubungi PFAM, Dr Vincent Goutterbarge memberi cadangan supaya:

  1. membuat pemeriksaan tahunan terhadap latar belakang kesihatan keluarga pemain dan juga pemain.
  2. pasukan perubatan bersama pegawai perubatan disediakan dalam perlawanan.
  3. peralatan perubatan seperti automated external defibrillator (alat untuk mengesan denyutan jantung dan memberi kejutan elektrik sokongan) disediakan ketika perlawanan.

Baca juga: Kecederaan Lutul ACL: Mimpi Ngeri Pemain Bola Sepak

Pendirian PFAM

Menurut siaran media mereka, PFAM berpendirian sudah tiba masanya perkara ini diletakkan dalam perhatian tertinggi.

PFAM juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak khususnya FAM bagi menjayakan mekanisme ini.

Sememangnya, hidup dan mati adalah di tangan Tuhan, namun sekurang-kurangnya kita semua mengambil langkah yang secukupnya bagi menyediakan ruang yang terbaik buat para pemain profesional di Malaysia.

Oniya sudah meninggalkan kita dalam keadaan yang amat tidak disangka-sangka, tugas kita adalah untuk memastikan betapa pemergiannya tidak sia-sia.

 

Nota Editor: Artikel ini merupakan kenyataan media oleh PFAM berkaitan isu kesihatan pemain berikutan tragedi yang menimpa kapten T-Team, mendiang David Oniya. Artikel ini ditulis oleh ketua pegawai eksekutif PFAM, Izham Ismail.

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN