David Beckham: Budak Leytonstone Yang Mencipta Nama Di Old Trafford

David Beckham

Nama David Beckham adalah lambang atau ikon kemasyhuran dalam dunia bola sepak yang masih belum terpadam sehingga hari ini.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan populariti Beckham sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pemain sehinggalah kemunculan dua pemian terbaik dunia ketika ini Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Setelah meninggalkan kerjayanya sebagai pemain profesional pada 2013, beliau kini merupakan pemilik kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami FC dan juga pemilik bersama Salford City.

Penyokong United Sejak Kecil

Semasa berusia 14 tahun, David Beckham dan keluarga menyambut hari kelahirannya di ‘bilik korporat’ di Old Trafford. Walaupun dilahirkan di Leytonstone, Timur London, beliau dibesarkan sebagai penyokong Manchester United dan tentulah ia hadiah hari jadi yang cukup bermakna.

Semasa Beckham bersama akademi Tottenham Hotspur, bakatnya telah dikesan oleh Sir Alex Ferguson dan pengurus legenda itu tidak menunggu lama untuk memujuknya menyertai akademi United.

Tentulah tidak sukar buat Beckham membuat keputusan untuk menerima perlawaan tersebut kerana beliau telah memasang impian untuk beraksi bersama The Red Devils sejak kecil.

Beliau beraksi cemerlang bersama dengan beberapa pemain muda yang lain seperti Ryan Giggs, Paul Scholes, Nicky Butt dan serta adik beradik Gary dan Phil Neville. Barisan enam pemain tersebut akhirnya membentuk ‘Class of 92’ yang cukup masyhur di seantero dunia.

Kumpulan pemain tersebut di bawah bimbingan jurulatih, Eric Harrison telah membantu United menjuarai Piala FA Belia pada Mei 1992 dan itulah detik permulaan kepada kegemilangannya sepanjang 15 tahun di Old Trafford.

Beliau membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama United pada September 1992 ketika berusia 17 tahun apabila menggantikan Andrei Kanchelkis ketika menentang Brighton dalam aksi Piala Liga. Tiga bulan kemudian Beckham telah menandatangani kontrak profesional pertamanya.

Selepas menghabiskan tempoh pinjaman selama semusim bersama kelab divisyen ketiga, Preston North End, Beckham kembali ke Manchester dan membuat penampilan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2 April 1995 ketika berusia 19 tahun menentang Leeds.

Tahun-Tahun Gemilang

Gol pertamanya untuk skuad senior hadir dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL)Β  di mana Beckham telah menjaringkan satu gol untuk membantu pasukannya menang 4-0 ke atas Galatasaray.

Pada musim berikutnya, Paul Ince, Mark Hughes dan Andrei Kanchelkis telah meninggalkan Old Trafford dan Ferguson bersedia untuk meletakkan kepercayaan kepada Beckham dan juga pemain muda lain.

Namun pada awal musim, perancangan Ferguson seakan-akan tidak menjadi seperti yang diharapkan. Aksi pembukaan liga menentang Aston Villa, United tewas 3-1, namun Beckham telah menjaringkan gol EPL pertamanya dalam perlawanan tersebut.Β 

Timbul keraguan dari pelbagai pihak mengenai keberanian Ferguson yang bergantung kepada ‘skuad mentah’ untuk bersaing di liga sebesar EPL.

Malah mungkin ramai yang masih ingat dengan kata-kata provokasi dari pemain pertahanan Liverpool, Alan Hansen yang mengatakan “kamu tidak akan menang apa-apa dengan budak-budak”.

Sebaliknya pada penghujung musim, skuad kendalian jurulatih Scotland itu dengan penuh bergaya menjuarai EPL dengan kelebihan 10 mata di depan Newcastle United.

Mencipta Sejarah

Musim demi musim sehinggalah penghujung era 90-an, usaha keras Beckham diadun dengan bakat semula jadinya menjadikan beliau sebagai pemain sayap kanan terbaik di England. Deretan gol-gol menarik dijaringkan oleh pemain muda sensasi itu terutamanya menerusi sepakan percuma lencong yang menjadi ‘trademark‘ buatnya.

Bagitu juga dengan gol dari jarak jauh ketika menentang Wimbledon pada 1996 serta gol menerusi sepakan percuma semasa kejohanan Piala Dunia 1998 berdepan Columbia. Kemuncaknya adalah dua bantuan jaringan dalam kemenangan dramatik sewaktu perlawanan akhir UCL pada 1999 yang menyaksikan United meraih gelaran ‘treble’ pada tahun tersebut.

Tahun-tahun seterusnya menyaksikan Beckham terus mencipta nama bersama United dengan meraih tiga lagi kejuaraan EPL. Musim 2001/02 boleh dikatakan musim terbaiknya di Old Trafford apabila beliau menjaringkan 16 gol daripada 43 perlawanan.

Beckham vs Ferguson

Banyak pihak yang mengatakan, titik ‘kemusnahan’ Beckham di Manchester United bermula apabila beliau mula menjalinkan hubungan dengan anggota kumpulan The Spice Girl iaitu Victoria Posh.

Ia menjadikan kehangatan populariti Beckham bukan sahaja tertumpu di dalam padang, tetapi media antarabangsa telah mula memberi perhatian kepada kehidupan peribadi bersama pasangannya itu.

Selepas United disingkirkan Arsenal di pusingan keempat Piala FA pada 2003, berlaku ‘pergeseran’ di antara pemain dan jurulatih paling popular dalam sejarah EPL.

Kejadian itu diceritakan oleh Ferguson dalam autobiografinya di mana beliau menyalahkan Beckham kerana hilang tumpuan dalam perlawanan tersebut kerana sering menyertai majlis-majlis keramaian bersama isterinya.

“Dia hanya kira-kira 12 kaki dari saya. Di antara kami berdua penuh dengan but di atas lantai. Apabila saya memarahinya, David kemudian menyumpah.

“Saya berjalan ke arahnya dan menyepak but hingga terkena di atas keningnya. Sudah tentu, dia meluru untuk menyerang saya tetapi pemain lain telah menghentikannya.”

Apa yang jelas, Ferguson adalah seorang pengurus yang tidak gemar ‘kuasanya’ dipersoalkan. Apa yang berlaku kepada Ince, Hughes dan Kanchelkis yang pernah ‘disingkirkan’ kerana cuba untuk mencabar ‘egonya’ itu membuktikan ketegasannya dalam mengawal bilik persalinan.

Tiba masanya, ia adalah giliran Beckham dan kejadian itu adalah tanda paling besar Beckham tidak diperlukan lagi di Old Trafford. Beliau telah dijual ke Real Madrid beberapa bulan kemudian dengan harga Β£25 juta walaupun hakikatnya masih menyayangi kelab tersebut dan berjanji tidak akan bermain untuk mana-mana kelab Inggeris yang lain.

Pengakhiran Karier

Selepas berpindah ke Madrid, Beckham kemudian beraksi untuk Los Angeles Galaxy, AC Milan dan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum menamatkan kariernya sebagai pemain profesional selama 20 tahun pada 2013.

Masa berlalu, mungkin masih ramai yang tidak dapat melupakan kualiti David Beckham semasa tahun-tahun gemilangnya di EPL.

Fesyen rambut, teknik sepakan percuma, hantaran tepat dan penyudah menarik yang dipersembahkan oleh seorang budak dari Leytonston akan kekal terpahat sebagai memori indah buat peminat bola sepak di seluruh dunia.

Kredit Foto: Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai David Beckham:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram