Datuk Hamidin Mahu Skuad Futsal Negara Bangkit

Futsal Negara

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengingatkan kepada skuad futsal negara supaya terus bangkit dalam usaha mencipta kejayaan.

Ia susulan kegagalan skuad futsal negara yang gagal melepasi peringkat kumpulan pada Kejuaraan Futsal AFF 2019 di Vietnam sekaligus menyaksikan mereka terlepas peluang untuk beraksi di pentas Kejuaraan AFC pada penghujung Februari ini di Asgabat, Turkmenistan.

”Menang atau kalah ialah adat pertandingan, apa yang penting semangat pasukan untuk terus bangkit mencipta kejayaan.”

“Bukan mudah untuk kekalkan kemenangan konsisten namun saya percaya sukan futsal negara mampu terus berkembang,” ujar Datuk Haji Hamidin ketika mengunjungi sesi latihan pasukan futsal negara di Arena Futsal FAM.

Datuk Haji Hamidin bertemu kem skuad futsal negara di Arena Futsal FAM.

“Seperti yang saya katakan, kekalahan bukannya noktah. Kita hanya perlu terus bangkit dan berusaha menjadi lebih baik.

Skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu kini dalam persiapan bagi menghadapi Kejuaraan Futsal Antarabangsa Thailand yang dijadualkan berlangsung 2 hingga 8 Februari ini di Songkhla.

Kejohanan yang turut menampilkan Tajikistan, Turkmenistan, Iran dan Kuwait itu menyaksikan skuad negara diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Thailand dan Turkmenistan.

Di peringkat kumpulan, Malaysia yang diketuai Mohd Khairul Effend Mohd Bahrin akan beraksi menentang Thailand pada 2 Februari manakala Turkmenistan menanti sehari kemudian. Sekiranya layak ke aksi separuh akhir, perlawanan akan berlangung 6 Februari.

“Pasukan yang akan berentap di Thailand ini semuanya bagus dan ia adalah medan terbaik untuk kita memperbaiki lagi kemampuan pasukan,” ujar Datuk Haji Hamidin lagi.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram