Datuk Hamidin Mahu Industri Bola Sepak Asia Kekalkan Muafakat

Hamidin

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menggesa industri bola sepak Asia yang dilihat terus terkesan dengan impak COVID-19 ketika ini untuk kekal bermuafakat dalam memastikan kelangsungan sukan ini, khususnya bagi menempuh saingan tahun depan.

Datuk Haji Hamidin yang juga ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023, berkata rantaian COVID-19 ini sukar untuk diputuskan sepenuhnya, justeru AFC akan terus bersama dengan ahli gabungan terutama negara yang terjejas teruk dengan memberi sokongan yang diperlukan terutama dari segi bantuan dana atau kewangan.

“Demi keselamatan semua pihak, AFC sebelum ini menunda kebanyakan saingannya tahun ini dan ada kejohanan yang terpaksa dibatalkan.”

“AFC adalah Konfederasi yang pertama mengambil langkah menunda perlawanannya bagi berdepan COVID-19.”

“Berdasarkan senario terkini, industri bola sepak di sesetengah negara Asia akan terus berdepan cabaran utama yang menuntut kita terus bekerjasama dalam menangani krisis ini,” katanya selepas turut serta dalam Kongres AFC ke-30 tahun 2020 secara maya, petang semalam.

Turut serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan dua ahli exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid dan Shafizah Umamah Abdul Mutalib.

Kongres secara maya ini meluluskan dan menerima permohonan Persatuan Bola Sepak Kepulauan Mariana Utara sebagai Persatuan Anggota AFC ke-47.

Terdahulu Kongres maya ini juga mengambil masa beberapa minit bagi mengenang pemergian legenda Argentina, Diego Armando Maradona serta legenda dari benua Asia yang telah meninggal dunia.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, dalam ucapannya di kongres secara maya itu berkata, FIFA mampu menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada negara anggota sejak bermulanya perjuangan menentang COVID-19 ini.

Infantino sekali lagi menekankan perpaduan atau solidariti adalah penting untuk memastikan kelangsungan bola sepak terutama dalam usaha menyaksikannya kembali normal pada 2021.
Datuk Haji Hamidin berkata, AFC dan ahli gabungan akan saling menyokong antara satu sama lain ketika berdepan situasi ketidaktentuan ini.

“Apa yang dikatakan Infantino itu tepat, solidariti penting dalam memastikan usaha bola sepak Asia untuk kembali seperti sedia kala untuk semua pemegang taruh, sama ada pemain, pasukan, kelab dan penyokong. Semoga prospek bola sepak lebih cerah untuk tahun 2021,” tambahnya.

Bagi Malaysia, antara pertandingan yang dinanti-nantikan ialah kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya berlangsung Oktober lalu yang terpaksa ditunda ke Mac tahun depan susulan penularan wabak COVID-19 secara global ketika ini.

Mesyuarat secara maya yang dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa itu turut meluluskan laporan kewangan yang diaudit untuk tahun 2019, serta belanjawan yang disemak AFC untuk tahun 2020 dan meluluskan pindaan Statut AFC.

Kredit featured image: Football Association of Malaysia

Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan bola sepak tanah air:

RASMI: Terengganu FC Akhirnya Perkenalkan Nik Akif Syahiran

Terus Mengorak Langkah Proaktif, JDT Jalin Kerjasama Dengan Spartan

Shukor Adan: Saya Hanya Fokus Untuk Terus Beraksi Selagi Diperlukan

Leave a Reply