Dato Haslah Tampil Jelaskan Kenapa Khidmat Azraai Khor Dihentikan

Baru-baru ini Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat kejutan apabila mengumumkan jurulatih muda dari Portugal, Mario Lemos sebagai Ketua Jurulatih baharu bagi menggantikan Mohd Azraai Khor Abdullah.

Keputusan itu ternyata mengejutkan Azraai Khor sendiri yang tidak menyangka khidmatnya ditamatkan serta-merta sebelum sempat membawa masuk pemain import baharu ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka secara rasmi.

Mengulas mengenai isu tersebut, pengurus skuad Hoben Jang Hoben, Dato’ Haslah Mohamad Amin menjelaskan khidmat Azraai ditamatkan selepas mereka mengkaji secara mendalam prestasi pasukan itu sepanjang dibawah bimbingannya.

“Bukan mudah untuk kita berhentikan khidmat jurulatih Azraai Khor dari melatih pasukan ini. Setelah kita mengkaji dengan mendalam dan memberi masa dan peluang, kita merasakan skuad ini semakin merosot dan nampak makin sukar untuk diselamatkan.

“Statistik dari barisan kejurulatihan kami menunjukkan jelas kita tiada peningkatan. Kita terpaksa ambil keputusan sebelum prestasi pasukan terus menjunam,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook team n9fc.

"Bukan mudah untuk kita berhentikan khidmat jurulatih Azraai Khor dari melatih pasukan ini. Setelah kita mengkaji dengan…

Posted by Team N9FC on Saturday, May 12, 2018

Malah menurut beliau, Azraai diberi tempoh masa 2-3 bulan sejak bulan Mac lalu untuk mencari pemain baharu tetapi masih tiada pengesahan daripada bekas jurulatih Kedah itu.

“Sejak bulan Mac, kita sudah minta beliau untuk mendapatkan pemain baru jika beliau merasakan perlu, namun sehingga waktu tempoh pendaftaran pemain, tiada seorang pemain pun yang disahkan oleh beliau. Ini merumitkan kerja kita untuk melakukan pertukaran dalam masa yang singkat.

“Kita juga menerima laporan dari beberapa pemain yang mereka hilang kepercayaan terhadap beliau. Itu sangat mengecewakan. Kita tidak mahu organisasi pasukan tergugat maka setelah diambil kira semua perkara, demi kebaikan pasukan kami pihak pengurusan perlu berani mengambil tindakan drastik ini.

“Jika gagal maka kami bertanggungjawab. Paling penting sekali para pemain menerima positif tindakan yang kita telah lakukan dan mereka telah berjanji untuk memberi komitmen dan terus berjuang mengekalkan pasukan di Liga Super,” jelasnya.

Negeri Sembilan kini mengumpulkan 5 mata selepas 9 perlawanan Liga Super dan hanya mencatat 1 kemenangan, 2 seri dan 6 kekalahan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram