Dari Penjual Air Di Jalanan, Osimhen Kini Pemain Afrika Termahal Dalam Sejarah

Kerjasama Semuanya BOLA

Victor Osimhen Afrika Napoli

Penyerang muda Nigeria, Victor Osimhen telah sah menyertai Napoli dan menjadi pemain Afrika termahal dalam sejarah selepas kelab Itali itu bersetuju untuk membayar yuran perpindahan bernilai €81.3 juta (RM405 juta) kepada kelab Perancis Lille.

Berdasarkan angka yang didedahkan oleh media Perancis, L’Equipe, Napoli akan membayar €71.2 juta dan €10.1 juta bonus tambahan menjadikannya rekod pembelian termahal kelab Serie A itu.

Jumlah tersebut mengatasi nilai £72 juta yang dibayar Arsenal tahun lalu untuk mendapatkan penyerang Ivory Coast, Nicolas Pepe yang kemudian tempatnya diganti oleh Osimhen di Lille.

Bekas pemain  Wolfsburg itu akan menerima gaji lumayan antara €4 juta dan €5.5 juta setahun tidak termasuk bonus, jauh lebih baik berbanding €80,000 seminggu yang diterimanya di Lille sebelum ini.

Kelab Belgium, Charleroi yang juga bekas kelab Osimhen akan menerima €7 juta daripada perpindahan tersebut berdasarkan klausa penjualan yang dimasukkan sebelum ini.

Beliau telah menjaringkan 10 gol dalam kejohanan Piala Dunia bawah 17 tahun (B-17) pada 2015 dan membantu negaranya menjulang kejuaraan buat kali kelima di Chile. Pada tahun tersebut Osimhen turut dinamakan sebagai pemain muda Afrika terbaik.

Musim ini pula beliau telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Lille selepas menampilkan persembahan cemerlang dengan menjaringkan 18 gol dari 28 penampilan dalam semua pertandingan dan telah menarik minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkannya.

Namun Napoli lebih pantas memuktamadkan rundingan bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun itu yang meneruskan perjalanan luar biasa dalam karier bola sepaknya. 

Bermula dengan menjual air botol di jalanan semasa kecil di Olusosun, beliau kini merupakan pemain bola sepak Afrika paling mahal dalam sejarah.

Kredit Foto: Victor Osimhen

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Napoli:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram