Dari Padang Berbatu Ke SNBJ, The Ohana FC Ceriakan The Botaks & Rakan-Rakan

The Botaks

Tanggal 2 November 2019 bukan sahaja menjadi detik hebat buat para penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila skuad bimbingan Benjamin Mora itu berjaya mendakap Piala Malaysia buat kali kedua.

Malah, tarikh tersebut turut merupakan saksi sebuah mimpi yang menjadi realiti buat murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi setelah mereka diberikan penghormatan untuk mengiringi para pemain Kedah dan JDT masuk ke padang pada aksi final Piala Malaysia, tempoh hari.

Sebagai antara yang terlibat secara tidak langsung sejak dari #ProjekKasutBolaOhana, penulis secara peribadi amat terharu melihat setiap langkah kecil anak-anak ini menuju ke padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di hadapan kira-kira 85,420 orang penyokong kedua-dua pasukan.

Permulaan memori indah The Botaks

Kisah indah ini bermula apabila sebuah kelab bola sepak komuniti di Lembah Klang, The Ohana FC yang diketuai personaliti TV3, Hanif Miswan berhajat untuk menyumbangkan kasut bola baharu buat para pemain pasukan bola sepak SK Lemoi susulan satu ciapan [Twitter] daripada seorang guru sekolah tersebut berkongsikan mengenai pemain-pemain cilik ini hidup dalam serba kekurangan.

Meskipun berada hampir dua jam dari pekan Cameron Highland dan hidup serba kekurangan, ia langsung tidak menyentap semangat pasukan yang turut dikenali sebagai The Botaks untuk menjuarai Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) 2019 sekaligus melayakkan mereka beraksi di peringkat negeri.

Kekurangan tak rentap semangat The Botaks

Tanpa berlengah, The Ohana FC melancarkan #ProjekKasutBolaOhana dan usaha murni itu berjaya menggamit penglibatan banyak pihak untuk menjadi penaja program yang berlangsung pada 12-13 Jun di sekolah tersebut.

Hari yang ditunggu sudah menjelma, rombongan The Ohana FC mengharungi laluan ‘offroad’ selama dua jam walaupun jarak dari jarak dari pekan Ringlet ke SK Lemoi hanyalah 18KM sahaja.

Pelbagai halangan ditempuhi sepanjang dua jam itu dihadapi dengan gelak tawa kerana yang lebih penting bagi kami [penulis turut menyertai] adalah detik pertemuan dengan murid-murid SK Lemoi dan The Botaks.

Setelah selesai majlis menyerahkan barangan sumbangan, The Ohana FC diberikan peluang beraksi menentang The Botaks dan ternyata adik-adik cilik ini layak digelar juara peringkat daerah kerana aksi mereka cukup matang ketika beraksi.

Keadaan padang SK Lemoi dan kelihatan juga pintu gol kayu buatan sendiri.

Namun, yang menarik perhatian penulis apabila pertama kali menjejakkan kaki di padang SK Lemoi, terbit perasaan sayu dan pada masa yang sama turut kagum dengan kegigihan mereka.

Bayangkan dengan batu besar terdapat di tengah padang sekolah dan juga keadaan padang yang beralun, tidak sesekali merencatkan usaha The Botaks dalam memburu kejayaan.

‘Dari Lemoi ke Kulompo’

Ikatan kekeluargaan benar-benar erat yang terjalin rupa-rupanya tidak hanya terhenti di Lemoi apabila The Ohana FC mengambil inisiatif ‘drastik’ dalam usaha mereka membawa The Botaks serta rakan mereka yang lain ke Kuala Lumpur.

Daripada idea tersebut lahirlah satu lagi projek iaitu #ProjekHariSukanOhana untuk menganjurkan karnival sukan membabitkan The Ohana FC bersama-sama pihak yang pernah terlibat dengan pasukan itu seperti The Botaks dan Rumah Anak Yatim & Tahfiz Ayah Man.

Diberikan penghormatan oleh pelajar Universiti Malaya.
Perlawanan bola jaring di antara The Kerintings (SK Lemoi) menentang Mrs Ohana

Hasil bantuan kewangan menerusi penajaan serta sumbangan individu, projek yang dirancangkan berlangsung pada 2 November di Arena UM itu berjalan dengan cukup lancar.

Kali ini turut diserikan lagi dengan kehadiran pasukan bola jaring SK Lemoi yang berhadapan dengan isteri para pemain The Ohana FC yang digelar ‘Mrs Ohana’ dan juga pelajar Universiti Malaya (UM).

Siapa sangka, rasa cinta Lemoi bertautan di Kuala Lumpur pula!

Sekali lagi The Ohana FC berpeluang menentang The Botaks.

Malam yang tak mungkin dilupakan

Dapat menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur sudah menjadi kenangan manis buat anak-anak Orang Asli suku kaum Semai ini tetapi seluruh warga The Ohana FC memberikan sesuatu yang lebih hebat buat mereka bersempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2019.

Dengan niat hanya untuk memberikan peluang mereka untuk menyaksikan perlawanan tersebut tetapi rezeki dariNYA tiada siapa yang mampu menghalang.

Hasil kerjasama dan perancangan strategik bersama Malaysian Football League (MFL), The Botaks dan rakan-rakan telah dipilih sebagai kanak-kanak pengiring pemain Kedah dan JDT pada malam tersebut.

Sebelum itu, mereka bersama-sama guru pengiring telah diberikan peluang untuk menikmati ‘Stadium Tour’ dan begitu teruja melihat jersi yang bakal dipakai Safawi Rasid pada perlawanan itu.

Untuk makluman anda, Safawi merupakan antara pemain yang adik-adik The Botaks ini kenal ketika penulis bertanyakan kepada mereka siapakah pemain bola sepak yang dikenali selain daripada Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Malam itu juga menjadi sangat signifikan buat ketua pasukan The Botaks, Robin A/L Zali selepas dipilih sebagai pembawa ‘toss coin’.

Ternyata malam yang cukup bermakna buat The Botaks dan rakan-rakan kerana menikmati peluang yang boleh dilabelkan sebagai sekali dalam seumur hidup.

Rumusan 

‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, itulah perumpamaan yang dapat dikaitkan dengan anak-anak dari Cameron Highland ini.

Sekadar bermain bola sepak serta berlatih di padang yang berbatu, kini mereka sudah memijak padang Stadium Nasional Bukit Jalil dan sosok tubuh mereka telah disaksikan oleh jutaan peminat bola sepak tanah air.

Benar bagai dikata oleh The Ohana FC iaitu ‘bola sepak bukan sekadar permainan’ dan membuktikannya dengan bola sepak jugalah mereka berjaya merealisasikan impian anak kecil ini untuk ke Kuala Lumpur sekaligus merasai sesuatu yang luar biasa dalam hidup mereka.

Pujian juga diberikan kepada barisan guru SK Lemoi kerana didikan baik sehingga menjadikan anak Lemoi ini sebagai murid-murid yang sangat menghormati tetamu dan orang dewasa. Sejujurnya penulis merasai perkara tersebut.

Moga usaha murni dan penuh keikhlasan ini dapat menjadi ikutan dan keprihatinan setiap individu yang memberikan sumbangan kewangan juga menjadi nadi utama kepada kejayaan The Ohana FC menjayakan kesemua projek yang dilancarkan.

Tahniah buat semua yang terlibat!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN