Dari Liga Sosial Ke Liga Super, Ini Kisah Kebangkitan Dirga Surdi

Dirga Surdi

Tiada siapa menyangka, malah Dirga Surdi juga tidak menjangkakan dengan tanpa latar belakang bola sepak yang kuat beliau mampu untuk beraksi di liga tertinggi di Malaysia.

Pemain berusia 21 tahun yang beraksi untuk PDRM padam musim ini tidak menjangkakan semua ini akan terjadi, lagi-lagi pada dua tahun lepas beliau hanya bermain liga sosial bersama Puchong Fuerza!

“Tahap tertinggi saya dulu semasa bersekolah menengah hanya pernah sampai wakil peringkat daerah sahaja dan tidak pernah ada peluang bermain di peringkat lebih tinggi,” kata Dirga yang tidak pernah beraksi di saingan Piala Presiden atau Piala Belia.

Dirga Surdi cukup berterima kasih kepada individu bernama Zainul Mashi yang menjadi perantara antara dirinya dengan dunia bola sepak profesional.

“Cuma sejak dari tingkatan 3, saya telah bermain di liga sosial dengan jurulatih, Zainul Mashi orang bertanggungjawab membawa saya bermain di situ.”

“Saya masih ingat pesan ayah kepada Azrif Nasrulhaq iaitu Badrul Hisyam yang sering ingatkan saya untuk sentiasa tidak putus asa. Tidak semestinya kita perlu datang dari sekolah sukan atau beraksi di Piala Presiden dan Piala Belia untuk dapat beraksi secara profesional di Malaysia.”

Pemain yang beraksi di bahagian sayap ini telah melakukan empat penampilan PDRM dalam CIMB Liga Super musim ini dari empat perlawanan.

Tiga penampilan beliau menentang Sabah, UiTM dan juga Melaka United adalah sebagai kesebelasan utama sementara ketika bertemu Johor Darul Ta’zim Dirga bermain sebagai pemain gantian.

Dirga tidak dapat melupakan saat apabila pembantu jurulatih PDRM, Eddy Gapil menawarkan peluang untuk beliau keluar dari liga sosial untuk ke Liga Super.

“Penolong jurulatih PDRM, Eddy Gapil menjadi orang bertanggungjawab memanggil saya hadiri pemilihan selepas pernah melihat saya bermain dalam salah satu perlawanan persahabatan dengan mereka pada musim lalu.”

“Panggilan daripada Eddy sampai sekarang saya tidak boleh lupa kerana pada mulanya, saya ingatkan ada kawan-kawan mahu kenakan saya dengan membuat panggilan palsu tetapi rupa-rupanya tawaran bermain Liga Super dan memang saya tidak berfikir banyak kali untuk terima tawaran tersebut.”

Kisah Dirga ini seharusnya boleh dijadikan teladan buat ramai pemain muda di negara kita yang tercicir dari memasuki sistem lazim bola sepak negara kerana persaingan yang cukup kuat.

“Nasihat saya kepada adik-adik di luar sana, jangan sama sekali cepat mahu mengalah andai kata gagal mendapat tempat bermain di peringkat Piala Presiden, Piala Belia atau sebagainya.”

“Jika kita memang berbakat,insya-Allah rezeki tidak akan ke mana untuk kita bermain di Liga Super atau Liga Premier pada satu hari nanti dan yang paling penting, jangan berhenti bermain bola sepak.”

Baca juga artikel kami mengenai Liga Malaysia:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram