‘Dapatkan Budak Itu, Bos!’ – Gary Neville Desak Ferguson Tandatangan Ronaldo

Ronaldo Sporting CP Manchester United 2003 Alex Ferguson

Bekas pertahanan Manchester United, Mikael Silvestre mendedahkan peranan Gary Neville mendesak Sir Alex Ferguson untuk menandatangani Cristiano Ronaldo.

Pada 7 Ogos 2003, Manchester United beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Sporting CP dan dihadapan lebih 55 ribu penyokong, Cristiano Ronaldo telah ‘menyeksa’ John O’Shea di benteng dengan larian deras dan kelincahannya.

Ia bukan sahaja memukau pemain-pemain The Red Devils, malah pengurus pasukan, Alex Ferguson turut terpikat dengan bakat dimiliki pemain berusia 18 tahun itu.

“Dapatkan budak itu, bos,” tegas Neville kepada pengurusnya itu ketika memasuki bilik persalinan selepas mereka tewas 1-3 dan respon pengendali berpengalaman itu adalah, “Kita akan cuba lihat apa yang mampu kita lakukan [untuk dapatkannya].”

Lagenda Manchester United, David Beckham adalah pemain pertama meninggalkan pasukan sebelum musim 2003/04 bermula dan pastinya Ferguson perlu merancang untuk memperkuatkan posisi sayap menyerang dan aksi Ronaldo itu jawapannya.

Dan selepas lima hari daripada perlawanan tersebut, Ronaldo akhirnya sah menyertai Manchester United dari Sporting CP dengan yuran perpindahan £12.24 juta.

Bercakap kepada majalah FourFourTwo dan dipetik semula oleh Mirror, Silvestre masih terkenang bagaimana saat pertemuan pertama mereka dengan Ronaldo dan bagaimana Ferguson telah meminta mereka berjaga-jaga dengan seorang pemain.

“Saat pertama saya melihatnya adalah pada 2003, ketika kami bermain dalam aksi persahabatan di Sporting. Sebelum perlawanan, Ferguson telah meminta untuk kami berhati-hati dengan seorang pemain muda,” kenang Silvestre mengenai perlawanan itu.

“Dia tidak menyebut namanya, namun ianya jelas dalam aksi tersebut [pemain itu adalah Ronaldo],” tambah pertahanan kelahiran Perancis itu lagi.

“Saya masih ingat kami terpaksa menunggu agak lama berbanding biasa di dalam bas untuk bertolak pulang selepas perlawanan kerana Ferguson telah pergi untuk berjumpa Ronaldo dan Sporting mengenai membawa pemain itu ke Old Trafford,” cerita Silvestre.

Silvestre turut berkata yang sebaik sahaja ketibaanya ke Manchester United, Ronaldo telah berjaya mengubah skuad tersebut dan mempamerkan peningkatan dalam pelbagai aspek sebelum menjadi antara pemain terbaik di dunia ketika ini.

KREDIT FEATURED IMAGE: VI IMAGES

Baca lagi artikel mengenai Cristiano Ronaldo:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram