Danny Rose: Sambung EPL Terlalu Cepat Kerja Gila

Danny Rose

Pemain pertahanan England, Danny Rose secara terbuka mengkritik perancangan untuk menyambung semula aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam masa terdekat selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Perkembangan terbaharu menyaksikan semua pasukan yang bermesyuarat pada Isnin memberikan komitmen untuk kembali menyambung perlawanan menerusi ‘Project Restart’ yang dirancang bermula pada 12 Jun ini.

Sehingga 11 Mei, United Kingdom merupakan negara ketiga paling teruk terjejas di dunia dengan mencatatkan 224,332 kes positif wabak berkenaan dengan 32,141 kematian.

“Tidak sewajarnya bercakap soal bola sepak selagi kes berkaitan wabak ini tidak menunjukkan penurunan. Nyawa orang ramai dalam bahaya,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Sebelum ini Perdana Menteri UK, Boris Johnson memberikan ‘lampu hijau’ untuk acara sukan di England untuk kembali dimulakan seawal-awalnya pada 1 Jun tetapi diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penyokong.

Rose yang dipinjamkan ke Newcastle United dari Tottenham Hotspur menulis pandangannya itu dalam akaun media sosialnya sambil mendakwa rancangan EPL itu menunjukkan mereka tidak peduli dengan nilai moral.

Sementara itu, tinjauan daripada sebuah badan penyelidik, YouGov menunjukkan 73 peratus daripada 2,092 orang dewasa British tidak bersetuju aksi bola sepak boleh menaikkan moral dan semangat mereka, hanya 19 peratus sahaja yang bersetuju.

Pada Sabtu lepas, buat kali ketiga terdapat pemain Brighton yang disahkan positif COVID-19.

Pemain tengah Norwich Todd Cantwell pula dalam responnya dalam media sosical mengatakan pemain juga manusia yang takut kepada ancaman wabak berkenaan.

Penyerang Manchester City, Sergio Aguero juga sebelum ini telah menegaskan majoriti pemain EPL takut untuk kembali beraksi kerana mereka mempunyai keluarga yang berisiko untuk dijangkiti.

Kenyataan itu turut disokong oleh rakan sepasukannya, Raheem Sterling yang mengatakan amat sukar untuk memastikan semua pihak dalam keadaan selamat, bukan hanya pemain bola sepak tetapi juga pegawai kejurulatihan, pengadil perlawanan dan juga staf perubatan.

“Saya ada kawan yang neneknya meninggal dunia [kerana COVID-19]. Saya juga ada saudara-mara yang meninggal dunia. Kita bukan hanya perlu jaga diri sendiri, tetapi juga orang di sekeliling kita.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liga Perdana Inggeris dan COVID-19:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply