Danilo Ikut Jejak Langkah Kejayaan Cristiano Ronaldo

Danilo

Bek kanan Juventus, Danilo mengikuti jejak langkah rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo apabila beliau menjadi pemain kedua dalam sejarah bola sepak dunia berjaya memenangi kejuaraan La Liga, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Serie A.

Kemenangan 2-0 Juventus ke atas Sampdoria hasil jaringan Cristiano Ronaldo dan Federico Bernardeschi telah mengesahkan kejuaraan Serie A kali kesembilan berturut-turut buat skuad yang dikenali sebagai The Old Lady itu.

Kejayaan itu nyata cukup bermakna buat Danilo yang berhijrah dari Manchester City pada jendela perpindahan musim panas lalu sekaligus telah melengkapkan medal kejuaraan diterimanya bagi tiga saingan liga utama di dunia itu.

Lahir pada 15 Julai 1991, Danilo mengecap nikmat selaku pemenang saingan La Liga 2016/17 selepas Real Madrid menamatkan kempen musim tersebut dengan kelebihan tiga mata meninggalkan musuh tradisi, Barcelona.

Musim berikutnya menyaksikan beliau meninggalkan Santiago Bernabeu untuk menyarung jersi kelab gergasi England, Manchester City dengan yuran perpindahan berjumlah  £26.5 juta.

Keputusannya menyertai The Cityzens nyata merupakan langkah yang tepat selepas Manchester City berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris buat dua musim berturut-turut pada 2017/187 dan 2018/19.

Masih segar dengan dua kejayaan tersebut, Pep Guardiola bertindak untuk melepaskan Danilo ke Juventus sebagai pertukaran kepada Joao Cancelo yang direkrut pengendali dari Sepanyol itu.

Kali ini Danilo sekali lagi tersenyum apabila Juventus terus mengekalkan dominasi dalam kempen Serie A 2019/20 bagi menjadikannya sebaris dengan Cristiano Ronaldo yang berjaya menjulang trofi kejuaraan di tiga saingan liga utama yang berbeza.

Pencapaian tersebut juga bermakna Danilo telah menjulang trofi kejuaraan liga bagi empat musim berturut-turut. Beliau hanya memerlukan empat musim sahaja untuk meraih pencapaian hebat di ketiga-tiga liga tersebut.

Satu pencapaian peribadi yang cukup hebat walaupun beliau bukanlah pemain bergelar bintang bagi pasukan diwakilinya.

Gelaran juara Primeira Liga Portugal 2011/12 dan 2012/13 turut pernah dimenangi oleh Danilo ketika beliau memperkuatkan jentera pertahanan FC Porto.

Kredit featured image: Juventus FC/Juventus FC via Getty Images

Baca artikel lain mengenai Juventus:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram