Damian Yeo: Hutang Melaka United Telah Dikurangkan Kepada 8 Juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Damian Yeo Melaka United 2020

Dalam slot Sembang Bola di radio Melaka FM, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), YB Damian Yeo Shen Li menjelaskan yang persiapan Melaka United untuk saingan musim 2020 sudah 90 peratus siap dan hanya sedikit penambaikan yang akan dibuat.

Damian Yeo dilihat serius untuk mengembalikan Melaka United ke fasa baharu selepas pelbagai kekusutan pada musim lalu antaranya masalah kelewatan pembayaran gaji untuk skuad Liga Super sehingga mengganggu prestasi dan fokus keseluruhan pasukan.

“Untuk makluman, selepas 35 hari dilantik sebagai presiden, sudah tiga mesyuarat exco diadakan. Bukan sahaja tiga mesyuarat, tetapi juga sehingga jam 12.45 pagi,” ujarnya mengenai perkara yang telah dilakukannya semenjak mengambil alih kerusi panas itu.

Selain mesyuarat bersama exco MUSA, Damian Yeo juga telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan Melaka United, pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan dan juga kumpulan penyokong bagi memahami masalah pada musim 2019.

“Saya juga ada melihat keadaan fasiliti kita terutamanya keadaan padang dan telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa syarikat untuk melihat kertas cadangan [bagi penambahbaikan],” jelasnya lagi sambil mengharapkan semua pihak untuk bersabar.

“Selain itu, kita juga telah mengurangkan jumlah hutang pasukan daripada 11 juta kepada 8 juta dan telah menyelesaikan hutang pembayaran gaji pemain sehingga September. Masih ada dua bulan lagi perlu diselesaikan. Saya berharap kita akan dapat selesaikannya pada bulan ini dengan sedaya upaya kita.

“Isunya, berani atau tidaklah. Macam kamikaze,” ujar Damin Yeo mengenai keberaniannya untuk mengambil alih kerusi panas presiden pasukan yang memiliki hutang yang sangat tinggi.

Satu inisiatif yang sedang diusahakan oleh pihaknya ketika ini adalah untuk menambah penyokong yang hadir ke stadium terutamanya daripada bangsa selain bangsa Melayu. Ini kerana, baginya, bangsa Cina dan India kurang megambil tahu mengenai pasukan negeri yang sedang bersaing di Liga Malaysia.

“Dikalangan bukan Melayu, mereka tidak kenal Melaka United. Jadi, apabila mereka tidak kenal, mereka tidak rasa bola sepak ini milik mereka. Apabila saya dijadikan presiden, kita dapat lihat terutamanya di akhbar-akhbar Cina mengenai Melaka United.

“Sangat penting untuk kita wujudkan kedai barangan kelab bukan sahaja di stadium tetapi juga di kawasan-kawasan padat dengan pelancong seperti di Jonker Walk, Dataran Pahlawan dan juga di Mahkota Parade. Kita boleh jual tiket di sana dan menjual [nama] Melaka United,” tambahnya lagi mengenai perancangannya.

Untuk musim 2020, Melaka United sudah memiliki 24 pemain dan menurut Damian Yeo terdapat beberapa lagi pemain akan dibawa masuk mengikut bajet pasukan bagi melengkapkan senarai 30 pemain yang bakal membawa cabaran Melaka United.

Kredit Featured Image: Melaka FM