Damian Yeo Diumum Secara Rasmi Sebagai Presiden Di Kongres Musa Ke-64

Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) telah mengumumkan secara rasmi, Damian Yeo Shen Li sebagai Presiden persatuan bola sepak negeri itu yang baharu.

Pengumuman tersebut dilakukan pada Kongres ke-64 persatuan itu yang diadakan di Ayer Keroh semalam oleh Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim .

46 perwakilan dari kalangan kelab gabungan MUSA, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghadiri kongres tersebut.

Menurut perlembagaan persatuan bola sepak negeri tersebut, sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka adalah secara automatik akan bergelar Presiden MUSA.

Ketua Menteri turut berhak melantik individu lain yang difikirkan sesuai untuk menjawat tampuk kepimpinan tertinggi badan induk bola sepak negeri tersebut.

https://www.facebook.com/MelakaUnitedSA/posts/269776749045130

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini melepaskan jawatan beliau bersama MUSA pada 1 November tahun lalu bagi membenarkan beliau memberi fokus kepada urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Kekosongan yang ditinggalkan oleh Adly kemudiannya diisi oleh Damian Yeo yang juga sebelum ini sememangnya menerajui pentadbiran persatuan tersebut.

Antara perkara yang dilaksakan oleh Damian yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong ialah menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain pada musim lalu berjumlah RM1.1 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, kongres turut mengumumkan Naib Presiden MUSA yang baharu, iaitu Noor Azman Rahman. Noor Azman bukan watak yang asing di dalam MUSA kerana beliau menjawat jawatan Setiausaha Agung persatuan terbabit sebelum ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram