Dalglish Terharu Terima Ucapan Tahniah Ferguson Atas Kejayaan Liverpool

Ferguson Liverpool Dalglish

Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menghantar mesej untuk mengucapkan tahniah kepada seteru lamanya, Sir Kenny Dalglish selepas Liverpool berjaya menamatkan penantian selama 30 tahun untuk menjuarai saingan liga utama, Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Khamis.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh bekas pengurus Liverpool itu yang merupakan jurulatih terakhir yang meraih kejuaraan liga pada musim 1989/90 sebelum Jurgen Klopp berjaya mengulanginya musim ini.

Kedua-dua pengurus berkenaan merupakan warga Scotland yang menjadi ikon buat bekas kelab masing-masing.

Ferguson yang mengurus United bermula 1983 hingga 2013 pernah bertekad mahu menamatkan dominasi Liverpool dalam saingan bola sepak Inggeris dan akhirnya membawa pasukannya meraih 13 trofi EPL, lima Piala FA, empat Piala Liga, dua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan satu Piala Kelab Dunia FIFA.

Manakala Dalglish pula sebagai pemain dan pengurus Liverpool telah memenangi tiga kejuaraan Piala Eropah, sembilan Liga Divisyen 1 dan tiga Piala FA.

“Dia [Ferguson] menghubungi saya untuk mengucapkan tahniah menggunakan medium yang lebih moden,” ujar Dalglish.

“Bagi generasi lama – Ferguson di Manchester, Brian Kidd, Mike Summerbee – semua orang-orang lama ini yang sezaman dengan saya akan menghantar surat untuk mengucapkan tahniah setiap kali musim berakhir.

“Ianya budaya yang masih berterusan hingga hari ini. Ia adalah ucapan yang amat berharga. Walaupun anda merupakan pesaing, tetapi mampu berjiwa besar untuk menghantar surat mengucapkan tahniah kepada seteru anda.

“Hakikatnya kami cuma musuh di atas padang, bukan di medan peperangan,’ katanya lagi.

Skuad kendalian Klopp muncul juara selepas pesaing terdekat, Manchester City tewas 2-1 kepada Chelsea pada Khamis dan membolehkan Liverpool muncul juara dengan kelebihan 23 mata ketika perlawanan hanya berbaki tujuh perlawanan.

Dalam masa yang sama, Dalglish tidak ketinggalan untuk memuji kepimpinan Jordan Henderson yang ditandatanganinya semasa dilantik sebagai pengurus Liverpool buat kali kedua pada musim 2011/12.

“Dia berhak untuk menjadi pemain yang berjaya dalam bola sepak. Dia hanyalah satu-satunya kapten Liverpool yang membawa Liverpool meraih piala (EPL) ini dan juga Piala Kelab Dunia.”

Kredit Foto: Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Kenny Dalglish dan Liverpool:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply