GB13 Bidas FA Sarawak, Jadikan Isu Rasuah Sandiwara Alih Isu Sebenar

Kumpulan penyokong Ultras Sarawak yang dikenali sebagai GB13 berpendapat, masalah prestasi pasukan Sarawak terutama ketika kekalahan mengejutkan dalam perlawanan 100PLUS Liga Premier kepada Felcra F.C pada hujung minggu lalu, tidak semestinya disebabkan oleh amalan rasuah.

Baru-baru ini, kumpulan penyokong Ultras Sarawak ini lantang membidas isu-isu yang menyelubungi bola sepak Sarawak di laman media sosial rasmi milik mereka.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah mengeluarkan satu kenyataan media agar skuad Sarawak disiasat  selepas menerima laporan beberapa pemain terlibat di dalam gejala mengatur perlawanan.

Susulan daripada laporan tersebut, Dato’ Posa Majais selaku Presiden FAS telah mengarahkan Kol (PA) Tuan Haji Wahab Abdul Rahim selaku pengurus pasukan Sarawak pada musim ini, untuk mengetuai siasasatan secara dalaman.

Dalam perlawanan menentang Felcra F.C pada Sabtu lalu, skuad Bujang Senang mendahului perlawanan dengan jaringan 2-0 sehingga minit ke-86 perlawanan.

Namun persembahan skuad Sarawak selepas itu menjadi tanda tanya ramai. Apakah yang berlaku? Masalah taktikal? Pemain tidak mempunyai kemampuan? Atau bagaimana?

Highlight: Sarawak 2-3 Felcra FC from Ahmad Muzammil on Vimeo.

Anselmo Arruda da Silva atau pun dikenali sebagai Casagrande, membantu kebangkitan skuad The Rivals apabila menjaringkan hatrik dalam tempoh 6  minit, termasuk waktu kecederaan, untuk Sarawak berputih mata tewas 3-2 di halaman sendiri.

Apa sudah jadi? Bagaimana Sarawak boleh melepaskan kelebihan dua gol sehingga tewas dalam perlawanan tersebut?

FAS alih dari isu sebenar?

Bagi GB13 kekalahan pasukan Sarawak di dalam perlawanan tersebut tidak semestinya kerana gejala mengatur perlawanan. Tewas kepada sesbuah pasukan yang dianggap lebih kerdil, adalah lumrah di dalam bola sepak.

Tindakan FAS mendedahkan perkara berkenaan melalui satu kenyataan media sebelum siasatan dilihat seolah-olah seperti cubaan FAS mengalihkan isu sebenar yang memberi masalah kepada skuad Sarawak pada musim ini.

Antara yang dipersoalkan oleh kumpulan penyokong Ultras Sarawak ini ialah kualiti pemain di dalam skuad sedia ada.

Milos Raickovic, Mateo Roskam dan Nebo

Ini termasuklah pemain import yang dibawa masuk, dan juga beberapa pemain yang dianggap berpengalaman dari beberapa buah pasukan dari Semenanjung untuk membawa nilai tambah ke dalam pasukan.

Untuk Liga Malaysia 2018, Sarawak pada mengekalkan khidmat Mateo Roskam dan juga Miloš Raičković daripada musim lalu.

Dua muka baru yang dibawa masuk ialah pemain tengah menyerang Nebojša Marinković daripada Serbia serta Kim Chi-Gon daripada Korea Selatan.

Aksi Nebojša adalah antara yang paling mendapat kecaman penyokong Sarawak pada Sabtu lalu. GB13 sendiri mengkritik kriteria pemilihan pemain ini oleh barisan kejurulatihan Sarawak, setelah melakukan semakan kepada rekod lampau pemain tersebut.

Berdasarkan semakan kami melalui Soccerway, ternyata dakwaan GB13 adalah benar. Daripada 5 penampilan bersama Rad Beogard, pemain ini belum pernah melengkapkan aksi 90 minit di atas padang sepanjang musim lalu.

Bagi Kim Chi-Gon, pemain pertahanan tengah itu masih belum melengkapkan aksi 90 minit ketika beraksi bersama Sarawak.

Jelas ia bukan sesuatu yang penyokong mahukan daripada pemain import yang sudah tentu mendapat bayaran gaji yang lebih mahal berbanding pemain tempatan.

Sumber: Soccerway

Tatkala pemain berpengalaman seperti Shahril Sa’ari dan juga Ronny Harun dibenarkan untuk meninggalkan kem Sarawak selepas tamat kempen musim lalu, beberapa pemain baru tempatan di bawa masuk setelah sebelum itu, FAS berikrar untuk mendedahkan lebih ramai pemain muda di kalangan anak jati Sarawak.

Antara muka baru tempatan ialah Mohammad Firdaus Muhammad, Mohd Iqbal Mohd Suhimi, Mohd Sabree Abu, Muhammad Muzaimir Abdul Hadi, Shaiful Wazizi Mohamad dan Shazalee Ramlee.

Ronny Harun, antara pemain berpengalaman dan kebangsaan bersama skuad Sarawak sebelum ini.

Jadi pengalaman yang bagaimanakah FAS masksudkan? Adakah muka-muka baru ini mempunyai pengalaman dan potensi yang lebih bagus daripada pemain musim lalu?

Amat menghairankan apabila FAS turut melepaskan beberapa bakat muda seperti Tommy Mawat Bada, Nur Shamie Iszuan (PJ Rangers), dan Rodney Calvin yang cemerlang dalam perlawanan lalu bersama PKNS FC, tetapi membawa masuk pemain yang sudah  ‘off peak’.

Kredit: PJ Rangers, Facebook.

Pasukan sehebat Brazil atau Monaco di Ligue 1, Perancis sekalipun, akan menggunakan pemain sedia ada untuk memburu kejayaan untuk diri sendiri sebelum mengeksport keluar pemain-pemain keluaran mereka.

Bagi GB13, ini bukanlah perkara baru di dalam bola sepak Sarawak. Sejak daripada musim 2014, Sarawak kerap kali membawa masuk pemain import dan tempatan daripada Semenanjung yang boleh dipersoalkan kualitinya.

Kredit: FA Sarawak, Facebook.

Maka bagi GB13, isu sebenarnya bukan mengenai pemain mengatur perlawanan. Tetapi siapakah pegawai di dalam FAS yang melakukan urusan jual beli pemain?

Adakah terdapat perkara yang tidak diketahui di sebalik proses pembelian dan penjualan pemain?

FMLLP ambil tindakan

Dakwaan oleh FAS mengenai pemain mengatur perlawanan, turut mendapat maklum balas badan penganjur bola sepak negara. FMLLP.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata FAS boleh diambil tindakan jika dakwaan mengatur perlawanan tersebut tidak mempunyai asas dan bukti.

Kevin dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian:

“Unit Integriti dan Undang-undang kami sudah menghubungi FAS. Pegawai kami akan berangkat ke Kuching secepat mungkin untuk bertemu FAS,” kata Kevin hari ini.

“Kami harap dapat mengetahui perkara sebenar secepat mungkin. Kami juga berharap FAS dapat membuktikan dakwaan mereka kerana mengeluarkan kenyataan tanpa bukti yang kukuh akan merosakkan bola sepak kita.

Sumber: FA Sarawak, Facebook.

“Kita juga boleh mengambil tindakan jika dakwaan itu tidak benar kerana perkara ini sepatutnya dibangkitkan menerusi saluran yang betul.

“Bola sepak adalah permainan yang pelik dan ia adalah sesuatu yang normal bagi pasukan kecil menewaskan kelab yang besar,” ujar Kevin yang mengulas kemelut di FAS.

Masalah pengurusan?

Adakah benar pemilihan dan proses jual beli pemain oleh FAS mempunyai ketirisan seperti yang didakwa GB13? Apakah sebenarnya yang berlaku kepada FAS?

Baru-baru ini, sebuah portal berbahasa Inggeris bola sepak Sarawak turut mendakwa beberapa pemain di dalam skuad sedia ada belum menerima bayaran gaji sejak Oktober tahun lalu.

Jika benar dakwaan ini, kami nasihatkan agar pemain yang tidak dibayar gaji membuat laporan rasmi kepada PFAM untuk tindakan lanjut.

Satu lagi perkara yang menjadi tanda tanya ialah di manakah Ketua Jurulatih Sarawak FA, Ian Andrew Gillian?

Kredit: FA Sarawak, Facebook.

Kami difahamkan Ian telah kembali ke kampung halaman selepas menyaksikan skuad Sarawak menewaskan Kuantan FA di Kuching dalam perlawanan pertama 100Plus Liga Premier 2018, selepas mendapat perkhabaran kematian ibunya.

Selepas itu, skuad Sarawak dibimbing oleh pembantu jurulatih, Pengiran Bala ketika seri 1-1 menentang Terenganu FC II dan tewas kepada Felcra FC pada Sabtu lalu.

Walaupun memahami situasi Ian Gillian harus kembali bersama skuad Sarawak secepat mungkin untuk menyambung tugasnya.

Penutup

Walau apa pun permasalahan yang melanda bola sepak Sarawak, kami mengharapkan ia mampu diselesaikan dengan kadar segera.

Pada pendapat penulis, tuduhan mengatur perlawanan sebelum siasatan adalah satu tuduhan yang berat. Jika benar, hendaklah tindakan keras berlandaskan undang-undang diambil.

Namun jika ianya tidak benar, bukankah ia telah merosakkan moral pemain? Bukankah ianya sekadar menghakis keyakinan penyokong? Di manakah etika profesionalisme sebagai sebuah persatuan profesional?

Terlampau banyak persoalan. Itulah kesimpulan kepada apa yang berlaku di dalam bola sepak Sarawak sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Mungkin persoalan yang wajar diberi perhatian oleh FAS buat masa ini ialah soalan yang berada di kebanyakkan minda penyokong skuad Bujang Senang selama ini: Apakah hala tuju pasukan Sarawak?

 

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan penulis semata-mata, dan tidak mempunyai kaitan dengan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN