Daftarkan Pasukan Anda Cepat-Cepat

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tempoh sehingga September ini untuk semua pasukan mendaftarkan status pasukan mereka kepada Sdn Bhd sepenuhnya.

Ini untuk membolehkan mereka beraksi dalam Liga Malaysia musim 2021.

Perkara itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed.

Firdaus turut memberikan peringatan agar semua pasukan tidak membuat kerja ‘last minute’ selepas diberikan tempoh yang agak panjang.

Mereka sudah diberikan masa bermula daripada pertengahan musim lalu lagi. Dan Firdaus turut mengesahkan bahawa, akan ada satu bengkel pada Rabu sehingga Jumaat ini bersama dengan setiausaha setiap pasukan.

Dalam bengkel itu nanti, setiap wakil pasukan akan mendapat penerangan lebih lanjut berkenaan dengan proses dan langkah penswastaan yang perlu dilakukan.

Dipetik daripada Harian Metro, Firdaus berkata: “Mahu tak mahu semua pasukan kena buat kerana ia juga antara kehendak AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang mahu liga di bawah ahli gabungannya tidak terikat dengan FA (Persatuan Bolasepak Negeri).”

“Kita akan bagi memo sebagai tanda ingatan kepada semua pasukan pada perjumpaan Rabu ini dengan tempoh diberi hingga September. Kalau gagal kemungkinan peluang untuk beraksi di liga akan terjejas pada 2021 nanti,” katanya ketika dihubungi.

Selepas ini, setiap pasukan perlu didaftarkan sebagai sebuah syarikat yang dikawal seorang pemilik ataupun dimiliki secara perkongsian yang memiliki saham dalam pasukan.

“Kita tak nak ada pasukan yang hanya letak FC tetapi hakikatnya tidak ada pemilik. Selepas ini semua pasukan wajib ada pemilik atau pemegang saham untuk menggerakkan pasukan masing-masing,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini Stuart Ramalingam menegaskan langkah ini penting untuk membantu mengurangkan masalah tunggakan gaji pemain.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram