Kes ‘Curi Pemain’ Libatkan Akhyar Rashid Akan Diumum FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Akhyar Rashid

Keputusan membabitkan kes ‘curi pemain’ atau ‘tapping up’ melibatkan perpindahan Akhyar Rashid ke JDT akan diketahui pada Mac akan datang.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam melalui laporan Bernama semalam.

Menurut Stuart, Jawatankuasa Rayuan FAM akan bersidang pada Februari untuk membincangkan kes tersebut selepas mendapat permintaan kedua oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk berbuat demikian.

Sebelum ini FAM pernah menafikan kes tuduhan dari KFA dan menjelaskan perpindahan tersebut sah menurut Artikel 15 peraturan FAM.

Kredit Foto: FAM

Malah Stuart sendiri turut berpendapat perkara tersebut boleh diselesaikan secara rundingan sebelum ini, dan tidak perlu dibawa ke Mahkamah Timbang Tara.

“Tidak perlu bawa hal ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan. Kami sebagai badan induk bersedia untuk membantu masalah yang dihadapi oleh mereka.”

Menurut Stuart, pihaknya sentiasa terbuka untuk duduk semeja bagi menyelesaikan kemelut ini dengan beliau berkata pihak KFA hanya mengalami salah faham mengenai isu ini.

“FAM sentiasa terbuka untuk duduk berbincang. Saya rasa pihak KFA mengalami salah faham mengenai urusan perpindahan pemain ini.”

“Namun begitu, kami bersedia untuk berbincang dengan mereka,” kata Stuart pada Disember 2018.

Seperti di luar negara, Liga Malaysia juga mempunyai dua jendela perpindahan. Yang membezakannya ialah peraturan.

Sampai masanya isu sebegini menjadi perhatian pihak berwajib?

Posted by Semuanya BOLA on Friday, November 23, 2018

Bagaimanapun keputusan Pusat Timbang Tara Asia (AIAC) baru-baru ini dilihat telah mengubah haluan kes tersebut

”Sebagaimana keputusan AIAC (Pusat Timbang Tara Asia) yang mengambil masa lama, begitu juga di FAM, kami juga perlu melalui proses perundangan, dan keputusan bukan boleh diputuskan dengan segera.

“Proses ini sudah beberapa kali tertangguh dan akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Rayuan pada bulan hadapan atau sebelum Mac nanti, dan keputusan akan diketahui selepas jawatankuasa berkenaan mencapai kata putus mengenai kes ini,” kata Stuart semalam.

Malah menurut Stuart, KFA kini berhak membawa semula kes tersebut kepada AIAC atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland sekiranya masih tidak berpuas hati dengan keputusan FAM pada Mac nanti.

Dalam perkembangan lain Stuart turut berkata FAM bercadang untuk menggubal undang-undang baharu berhubung perpindahan pemain dalam tempoh terdekat selepas memansuhkan Artikel 15.A, Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.

Beliau menjelaskan, ia bagi memastikan undang-undang sedia ada adalah selaras dengan undang-undang Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pada tahun lalu KFA mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk itu yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Muhammad Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan bahawa pemain itu hanya perlu membayar RM210,000 bagi menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.