COVID-19: Pemain Dan Staf Kejurulatihan Valencia Pula Disahkan Positif

Kelab Sepanyol, Valencia mengesahkan lima individu yang terdiri daripada pemain dan staf pasukannya telah disahkan positif wabak Coronavirus (COVID-19) selepas menjalani pemeriksaan perubatan.

“Valencia ingin memaklumkan lima kes positif COVID-19 terdiri daripada pemain skuad utama dan staf,” lapor kelab itu dalam kenyataan media.

“Kesemua mereka kini berada di rumah masing-masing untuk menjalani proses pengasingan dan keadaan kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik.”

Pada Ahad, pemain pertahanan Argentina, Ezequil Garay merupakan pemain La Liga pertama yang dilaporkan positif.

“Ianya jelas nasib saya tidak begitu baik pada tahun 2020 ini. Saya disahkan positif dijangkiti coronavirus. Bagaimanapun keadaan saya masih baik dan sekarang saya hanya perlu mendengar nasihat pihak berkuasa dan kekal mengasingkan diri [di rumah,” tulis Garay dalam akaun Instagram.

Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini sudah pun disahkan tidak dapat menghabiskan baki saingan musim ini selepas mengalami kecederaan lutut pada Februari.

Valencia berkunjung ke Milan pada bulan lepas untuk perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) untuk perlawanan menentang Atalanta di stadium yang padat dipenuhi penonton sebelum keluarnya dikuatkuasakan arahan untuk melarang sebarang acara sukan diteruskan di Itali.

Seorang wartawan radio dan Valencia yang juga menghadiri perlawanan itu juga didapati positif wabak tersebut.

Sepanyol juga telah mengikuti langkah negara-negara lain untuk menangguhkan semua perlawanan bola sepak di negara itu sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu bagi mencegah penularan wabak yang semakin serius.

Sepanyol kini merupakan negara kedua yang paling teruk terjejas di Eropah selepas Itali.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram