COVID-19: Harini KS FC Beri Sumbangan Kepada Keluarga Terjejas

Kerjasama Semuanya BOLA

Kelab Liga M3, Harini KS FC bertindak menghulurkan sumbangan kepada keluarga di sekitar Selangor yang terjejas pendapatan kewangan mereka akibat wabak COVID-19.

Sumbangan tersebut diberikan kepada penerima dalam bentuk agihan makanan asas seperti beras, susu, sardin, gula, tepung, kicap dan lain-lain. Seramai 200 penerima menerima faedah sumbangan daripada Harini FC.

Harini KS FC juga menjelaskan dalam kalangan penerima tersebut, ada yang terdiri daripada keluarga pemain-pemain mereka sendiri.

“Diharapkan sumbangan yang diberikan daripada HARINI KS FC ini dapat serba sedikit membantu meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh semua.

“Kami juga mendoakan agar wabak ini diperjauhkan dan membolehkan Harini KS FC meneruskan perjuangan didalam saingan Liga M3 2020,” tulis kelab tersebut di laman media sosial mereka.

Harini KS FC merupakan pasukan Liga M3 yang dijenamakan semula daripada pasukan Batu Dua FC. Kelab yang berpangkalan di Kuala Selangor ini diurus dan ditaja oleh Harini Sdn Bhd yang juga berpangkalan dari kawasan sama.

Batu Dua FC merupakan salah sebuah pasukan yang menghadapi masalah kewangan di pertengahan musim Liga M3 tahun lepas.

Harini KS FC mempunyai dua pasukan – pasukan senior yang beraksi di Liga M3 dan Harini FC II yang beraksi dalam Liga Premier FA Selangor (FAS) 2020.

Rata-rata pemain mereka dibarisi oleh pemain-pemain Batu Dua FC musim lepas seperti kapten Azidan Sarudin, Fakhrurazi Musa dan Badrul Hisyam Morris.

Harini KS FC dilatih oleh bekas jurulatih kelab Liga M3 Protap FC musim lepas iaitu Dusan Momcilovic.

Setakat ini Liga M3 musim 2020 sudah berjalan sehingga dua perlawanan. Harini KS FC menang sekali (8-0 ke atas Thai Selangor) dan tewas sekali (1-3 kepada KL Rovers) sebelum aksi liga ditunda atas arahan FAM dan MFL kerana penularan wabak COVID-19.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Harini KS FC:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram