Copa America: Susulan Kritikan Oleh Messi, AFA Hantar Aduan Rasmi Terhadap Mutu Pengadil

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) telah mengemukakan aduan rasmi kepada badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL berkenaan mutu pengadil ketika perlawanan separuh akhir Copa America menentang Brazil baru-baru ini.

Dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung pagi semalam (waktu Malaysia), Brazil menewaskan Argentina 2-0 hasil jaringan Gabriel Jesus dan Roberto Firmino di setiap babak perlawanan.

Aduan rasmi daripada AFA itu dilakukan susulan komen kapten pasukan, Lionel Messi yang menganggap gaya pengadilan gila dan berat sebelah oleh pegawai perlawanan.

AFA juga mendakwa terdapat campur tangan dari Presiden Brazil, Jair Bolsonaro sehingga berlakunya ketidakadilan dalam perlawanan tersebut. Malah AFA menganggap tindakan oleh Bolsonaro sebagai ‘sebuah demonstrasi berunsur politik’ diantara dua negara berjiran itu.

Dalam surat aduan sebanyak enam muka surat kepada CONMEBOL, Presiden AFA, Claudia Tapia menyokong sepenuhnya pendapat Messi terutama komen pemain itu yang menuduh pengadil dari Ecuador Roddy Zambrano menidakkan sepakan penalti sejurus sebelum gol kedua Brazil.

Bercakap kepada wartawan sejurus selepas perlawanan, Messi dipetik sebagai berkata:

“Mereka [Brazil] bukan pasukan yang lebih bagus dari kami. Mereka memperolehi gol awal, dan gol kedua adalah berpunca dari sepakan penalti [untuk Aguero] yang tidak diberikan,” ujar Messi kepada wartawan.

“Pegawai perlawanan juga memberikan layangan kad mengarut [bullsh*t] yang banyak, tetapi mereka langsung tidak melakukan semakan menggunakan VAR. Itu sangat menghairankan.

“Perkara itu berlaku sepanjang perlawanan. Setiap kali berlaku ‘contact’, mereka [pengadil] akan memberi kelebihan kepada Brazil dan semua ini mengganggu tumpuan kami dalam perlawanan.

“Kami tidak boleh memberikan alasan, tetapi perkara ini harus dilihat, dianalisis kembali, dan berharap CONMEBOL boleh melakukan sesuatu.

Tapia juga menuduh Zambrano mengelak daripada melakukan semakan VAR sekurang-kurangnya dalam dua situasi jelas ianya perlu digunakan.

Presiden AFA itu juga mempersoalkan sama ada nilai semangat kesukanan, keadilan dan etika benar-benar diamalkan pada perlawanan tersebut. Akhbar Amerika Syarikat, GloboEsporte misalnya berkata pegawai kepada Presiden Bolsonaro melakukan sesuatu yang menjejaskan hubungan komunikasi diantara pengadil dan pasukan VAR.

Konspirasi teori bagaimanapun dinafikan oleh pihak penganjur, dan berkata hanya berlaku masalah teknikal sebelum perlawanan – namun telah diselaikan sebelum sepak mula perlawanan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram