Copa America: Emi Martinez Tepis 3 Penalti Untuk Hantar Argentina Ke Akhir

Copa America 2021

Argentina bakal bertemu dengan tuan rumah dan juga musuh tradisi, Brazil dalam aksi akhir Copa America 2021 selepas berjaya menewaskan Colombia menerusi sepakan penalti.

Perlawanan antara dua pasukan utama Amerika Selatan ini dilihat cukup sengit dengan Argentina berjaya mendahului menerusi Lautaro Martinez.

Hantaran Lionel Messi yang diapit dua pertahanan Colombia berjaya menemui kaki Lautaro untuk Argentina mendahului pada minit ke-6.

Colombia membalas semula pada minit ke-60 menerusi Luis Diaz selepas gerakan sepakan percuma pantas (quick free-kick) berjaya memerangkap Argentina.

Gerakan tersebut membolehkan Diaz bergerak pantas dari kawasan kiri padang dan kemudiannya masuk ke dalam kotak penalti untuk menewaskan Emiliano Martinez untuk menjaringkan gol penyamaan.

Argentina sekurang-kurangnya melepaskan dua peluang keemasan di separuh masa kedua menerusi percubaan Lautaro dan Messi.

Lautaro gagal menyempurnakan peluang di hadapan gol selepas hanya tinggal satu pertahanan sahaja di depan gawang. Ketika itu, Angel Di Maria sudah mengatasi David Ospina yang keluar dari kotak penalti.

Peluang untuk Messi hadir apabila beliau melakukan rembatan kaki kirinya tetapi terkena tiang.

Tamat 90 minit perlawanan, pemenang perlu dicari menerusi penentuan sepakan penalti.

Colombia yang mengambil sepakan penalti terlebih dahulu berada di depan menerusi Juan Cuadrado sebelum Messi menyamakan kedudukan.

Sepakan Davinson Sanchez ditepis oleh Martinez namun Rodrigo De Paul turut gagal apabila rembatannya melambung.

Martinez sekali lagi menyelamatkan sepakan penalti, kali ini dari Yerry Mina. Pemain gantian, Leandro Paredes berjaya meletakkan Argentina di depan.

Sedikit harapan tiba buat Colombia selepas Miguel Borja merembat kencang ke tengah-tengah gol sebelum Lautaro meletakkan Argentina semula di depan.

Kemenangan Argentina disahkan menerusi sepakan Edwin Cardona selepas penaltinya ditepis oleh Martinez sekali gus menamatkan perlawanan dengan kejayaan milik La Albiceleste.

Argentina akan bertemu Brazil di perlawanan akhir pada Ahad ini jam 8 pagi waktu Malaysia.

Kesebelasan utama

Argentina: Emiliano Martinez (penjaga gol), Nahuel Molina, German Pezzella, Nicolas Otamendi, Nicolas Tagliafico, Rodgrigo De Paul, Guido Rodriguez, Giovani Lo Celso, Lionel Messi, Lautaro Martinez, Nicolas Gonzalez

Colombia: David Ospina (penjaga gol), Daniel Munoz, Yerry Mina, Davinson Sanchez, Wiliam Tessilo, Juan Cuadrado, Wilmar Barrios, Gustavo Cuellar, Luis Diaz, Rafael Borre, Duvan Zapata

Baca juga artikel kami yang lain:

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

5 Pemain Yang Akan Bersaing Rapat Untuk Ballon d’or 2021

Baddrol Masih Berharap Kejohanan Piala AFC Dapat Diteruskan

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply