Copa America: Dua Gol Babak Kedua Colombia Kecewakan Messi Dan Argentina

Dua gol pada babak kedua permainan, memberikan kemenangan selesa 2-0 kepada Colombia untuk mengatasi gergasi Amerika Selatan Argentina di kejohanan Copa America 2019.

Pertemuan Argentina dan Colombia membuka tirai saingan Kumpulan B, yang turut menyaksikan kedua-dua negara berada dalam satu kumpulan bersama Paraguay dan Qatar.

Perlawanan seterusnya untuk saingan Kumpulan B diantara Paraguay dan Qatar akan berlangsung pada jam 3 pagi esok.

Kekalahan terbaru ini juga adalah rentetan prestasi buruk Argentina di kejohanan utama antarabangsa.

Malah prestasi Argentina pada babak pertama perlawanan sememangnya wajar dikritik kerana menampilkan aksi yang longlai, tidak berkesan dan tanpa hala tuju yang jelas.

Bersambung babak kedua, Argentina memperkemaskan permainan mereka, namun masih gagal memberikan ancaman kepada barisan pemain Colombia.

Sebaliknya Colombia berjaya menemui jaringan pertama dalam perlawanan ini melalui Roger Martinez, yang berjaya mengelirukan pertahanan lawan di penjuru kotak penalti lawan, sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Franco Armani di hadapan gawang Argentina.

Derita Argentina dan Messi berterusan selepas itu apabila Duvan Zapata menjaringkan gol kedua Colombia selepas menerima hantaran Jefferson Lerma pada minit ke-86 perlawanan.

Secara keseluruhan Argentina memiliki lima percubaan tepat ke arah gawang Colombia yang dikawal oleh David Ospina, namun tiada dari percubaan tersebut mampu diterjemahkan oleh Messi dan rakan-rakan.


Prestasi Messi sendiri turut mengecewakan dalam perlawanan ini.

Kemenangan Colombia ini juga bermakna kemenangan pertama negara tersebut ke atas Argentina dalam perlawanan kompetitif sejak 2007 dan merupakan kekalahan pertama Argentina dalam perlawanan pembukaan Copa America.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram