Conte Setuju Ganti Ole Di Manchester United

Antonio Conte

Mantan pengurus Chelsea, Antonio Conte dikatakan telah bersetuju untuk menyertai Manchester United bagi menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Menurut wartawan Gianluca Di Marzio, Conte dikatakan berkata “ya” kepada tawaran untuk kembali ke Premier League dengan perbincangan masih lagi diadakan.

Di dalam dilema

Walaupun Conte telah pun dihubungi oleh United, tetapi kelab tersebut dikatakan belum lagi ada kata putus yang teguh sama ada untuk kekalkan Solskjaer atau tidak.

Conte dikatakan bersedia untuk memulakan tugas pada bila-bila masa dengan beliau yakin mampu menguruskan skuad yang dibintangi Cristiano Ronaldo, Marcus Rashford dan Harry Maguire itu.

Namun, ‘nyawa’ masih lagi ada buat Solskjaer.

Tidak seperti Jose Mourinho yang terus ‘direhatkan’ selepas tumbang di tangan Liverpool, Solskjaer menerima nasib yang lebih baik selepas tewas ditangan The Reds kerana masih lagi bertugas.

Hal ini kerana, pengurusan tertinggi United masih lagi berbincang untuk menentukan sama ada mahu kekalkan Solskjaer atau tidak.

Dijangka ianya akan mengambil sedikit masa sebelum keputusan akan dicipta oleh United mengenai siapakah bakal menduduki ‘kerusi panas’ itu.

Dari perspektif United, mereka pastinya berada dalam dilema sama ada mahu mengekalkan Solskjaer atau tidak.

Hal ini kerana, Solskjaer dianggap sebagai individu yang digemari oleh pihak atasan United dan mereka dilihat tidak bercadang untuk memecat pengurus itu.

Akan tetapi, jika beliau dikekalkan pastinya akan mengundang kemarahan penyokong United yang dilihat ramai mahu mantan pengurus Cardiff City itu dibuang.

Jika Conte dilantik, ianya akan menghadirkan nafas baharu buat United terutamanya dalam kalangan penyokong, tetapi apa yang menjadi misteri adalah dari segi taktikal.

Dengan Conte gemar bermain tiga pemain pertahanan, kemungkinan akan berlaku perubahan ketara dari segi taktikal dan akan ada pemain yang bakal disisihkan.

Hanya masa akan tentukan sama ada Conte akan tiba di Old Trafford atau tidak. Atau mungkin akan ada pengurus lain yang tiba untuk menggantikan Solskjaer.

Atau pun, hidup akan dijalankan seperti biasa dengan Solskjaer terus mengemudi United – ianya pasti sukar diterima oleh penyokong mereka kelak.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply