Antonio Conte: Frank Lampard Mampu Jadi Pengurus Terbaik Di Dunia

Kerjasama Semuanya BOLA

Frank Lampard

Pengendali Inter Milan, Antonio Conte mengakui rakan sejawatannya di Chelsea, Frank Lampard mempunyai kualiti yang cukup hebat untuk menjadi salah seorang pengurus terbaik di dunia, satu hari nanti.

Lampard yang membimbing Derby County pada musim pertamanya [2018/19] sebagai pengurus telah berjaya membawa kelab tersebut ke perlawanan akhir play-off dalam usaha melayakkan diri ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Hasrat untuk melakar kejayaan manis bagaimanapun terhenti di Wembley apabila Derby tewas 1-2 ditangan Aston Villa.

Lebih menarik untuk diperkatakan mengenai perlawanan itu ialah teman baik Lampard ketika bersama Chelsea, John Terry bertindak selaku penolong pengurus Villa.

Kekecewaan itu sedikit terubat selepas Lampard ditawarkan jawatan selaku pengurus Chelsea setelah pengurus sebelum ini, Maurizio Sarri bertindak untuk kembali ke Itali bagi membimbing Juventus meskipun berjaya membantu The Blues menjulang Liga Europa.

Musim pertamanya bersama kelab yang mempunyai ‘sentimental value’ terhadap kariernya itu tidaklah begitu mengecewakan walaupun ada ketika Chelsea mempamerkan persembahan ‘yoyo’.

Tambahan pula Lampard mempunyai sumber pemain yang amat terhad pada jendela perpindahan musim panas susulan hukuman larangan pembelian pemain dijatuhkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Embed from Getty Images

Melihatkan keadaan tersebut serta karisma dimiliki pengendali berusia 41 tahun itu, Conte jelas yakin dengan kemampuan penjaring 177 gol dalam kempen EPL tersebut untuk menjadi pengurus terbaik di dunia.

”Saya merasakan dia telah melakukan tugasan dengan sangat baik, Frank [Lampard].”

”Ini adalah pengalaman keduanya selepas membimbing Derby County, jadi untuk menjadi jurulatih bagi sebuah pasukan terkenal bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.”

”Saya rasa dia mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk menjadi salah seorang pengurus terbaik di dunia. Dia perlu untuk terus bekerja dengan caranya dan saya mendoakan yang terbaik buat masa depannya,” ujar Conte menurut laporan dikeluarkan Goal.

Selepas mengharungi 29 perlawanan EPL, Chelsea berada di tangga keempat dengan 48 mata hasil 14 kemenangan, enam keputusan seri dan sembilan kekalahan yang dialami.

Dalam saingan piala pula, Chelsea masih bersaing di peringkat suku akhir Piala FA [akan berdepan Leicester City] dan berdepan tugas sukar untuk bangkit dari ketinggalan tiga gol untuk berdepan Bayern Munich di pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Kredit featured image: Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Frank Lampard:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply