‘Club Costa City’ – Peluang Untuk Pemain Muda JDT Ke Sepanyol?

JDT III Johor Darul Ta'zim JDT Club Costa City

Berdasarkan perkongsian terbaharu bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Aaron Niguez, beliau telah menubuhkan kelab bola sepak baharu, Club Costa City.

Bekerjasama bersama adiknya, Saul Niguez yang sedang hangat diperkatakan akan menyertai Manchester United daripada Atletico Madrid, Aaron Niguez, mereka telah menubuhkan kelab bola sepak berasaskan akademi dan pembangunan bola sepak.

Selepas meninggalkan JDT dan Liga Malaysia pada penghujung musim 2019, pemain sayap menyerang itu telah diumumkan menyertai kelab divisyen dua di Sepanyol, Malaga C.F pada Mac lalu dan kontraknya adalah sehingga penghujung musim ini.

Berpengkalan di Elche di Sepanyol, Club Costa City dengan pengenalan, ‘There is a new team in the city’ itu akan menggabungkan lebih 30 pasukan dan melibatkan lebih 500 pemain termasuk lelaki dan perempuan yang berusia 4 sehingga 18 tahun.

Paling menarik adalah kelab tersebut turut akan menerima tajaan daripada syarikat peralatan dan pembekal barangan sukan terkemuka dunia, iaitu Nike.

“Kami berdua telah merancang projek yang mengujakan dan menarik ini selama beberapa tahun dan kini saya berasa gembira kerana telah dibenarkan untuk mengumumkannya secara rasmi pada hari ini,” kata Saul Niguez dalam kenyataannya.

Dengan pelancaran kelab baharu tersebut, desas desusnya untuk menyertai kem Manchester United nampaknya kian pudar kerana sudah tentu pemain tengah tersebut akan sibuk dengan rutin harian menguruskan kelab baharunya itu nanti.

Dalam pada itu, Aaron Niguez turut berkongsi kegembiraan sebagaimana adiknya dengan pelancaran kelab mereka dan turut menjelaskan mengenai objektif utama Club Costa City iaitu mengenai membentuk pemain menjadi pemain profesional.

“Objektif utama [penubuhan] ialah untuk memberikan latihan yang padat dan menyeluruh untuk mencapai kejayaan peribadi dan sukan,” jelas pemain yang pernah beraksi di serata Eropah itu dalam ciapan Twitternya mengenai kelab tersebut.

Adakah JDT akan turut bekerjasama dengan kelab pembangunan bekas pemain mereka ini? Jika melihatkan hubungan antara pemain tersebut dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), tiada sebarang masalah ketika beliau dilepaskan tempohari.

Malah, Aaron Niguez mengucapkan terima kasih kepada TMJ – yang dipanggilnya ‘Boss’ atas peluang singkat yang telah diberikan kepadanya sebelum dilepaskan selepas beraksi dalam tiga perlawanan dan bangga menjadi sebahagian daripada JDT.

Kedua-dua kelab secara kebetulan pula menerima tajaan daripada syarikat yang sama iaitu Nike. Jadi, adakah bakat-bakat muda daripada JDT akan berpeluang menimba pengalaman di Sepanyol nanti? Mungkin ia bukan sesuatu yang mustahil.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Baca lagi artikel lain mengenai Aaron Niguez dan JDT:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply