Claudio Marchisio Umum Persaraan Pada Usia 33 Tahun

Marchisio

Bekas pemain tengah Juventus, Claudio Marchisio telah membuat kejutan selepas mengumumkan telah menggantung but pada usia 33 tahun.

Bekas pemain kebangsaan Itali itu menyertai akademi Juventus sejak berumur tujuh tahun dan telah mengumpul kejuaraan Serie-A untuk tujuh tahun berturut-turut bersama kelab Turin tersebut.

Marchisio telah bermain lebih 400 perlawnan sepanjang keriernya untuk Juventus. Kemudian beliau meninggalkan kelab berkenaan pada 2018 dan menyertai kelab Rusia, Zenit St. Petersburg.

Malangnya sepanjang tempoh bersama pasukan itu musim lepas, beliau sering dilanda beberapa siri kecederaan yang telah sekian lama membelengguinya.

Marchisio turut memilik 55 kaps antarabangsa bersama Itali dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang mara ke perlawanan akhir kejuaraan Eropah (EURO) pada tahun 2012.

Beliau menjadi kapten Juve buat kali pertama semasa perlawanan Liga Europa peringkat kalah mati menentang Fulham pada Mac 2010. David Trezeguet yang dikeluarkan pada minit ke-62 telah menyarung lilitan kapten ke lengannya memandangkan Gianluigi Buffon dan Gergio Chellini tidak bermain dalam perlawanan tersebut.

“Saya dahulunya merupakan seorang kanak-kanak yang mengimpikan bermain untuk Juventus dan saya adalah dalam kalangan mereka yang berjaya mencapainya,” ujar Marchisio kepada BBC.

Marchisio mula diturunkan bersama skuad utama Juventus pada 2006 dan dipinjamkan ke Empoli pada musim berikutnya. Selepas itu, beliau kekal bersama The Old Lady untuk 12 musim berikutnya.

Marchisio cukup dikenali sebagai pemain tengah versatil dengan kemampuannya untuk bermain di posisi tengah menyerang atau bertahan, stamina yang tinggi, tenaga luar biasa, bijak membaca permainan, terjahan keras, teknik kemahiran yang mantap serta keupayaan menjadi pemain tengah ‘box-to-box yang dinamik.

Isu kecergasan mula menghantui beliau sejak 2015 selepas beliau mendapat kecederaan lutut sehingga beliau terlepas daripada kejuaraan Eropah pada tahun berikutnya.

Sejak kejadian itu, pemain yang diberi gelaran ‘Prince of Juve’ itu terus dilanda kecederaan sama berulang kali dan bergelut untuk mendapat tempat dalam pasukan utama Juventus sehinggalah beliau membuat keputusan untuk berpindah ke Zenit.

Pada 1 Julai 2019, Zenit mengumumkan Marchisio telah meninggalkan kelab berkenaan selepas kontraknya dibatalkan atas persetujuan bersama.

Pada 3 Oktober 2019, Marchisio mengadakan sidang media di Stadium Juventus untuk mengumumkan persaraannya pada usia 33 tahun disebabkan masalah kecederaan yang tidak berpenghujung.

“Saya tidak menyesali apa-apa. Terima kasih juga kepada keluarga yang bersungguh-sungguh meminta saya memikirkan masa depan saya.

“Terima kasih impian! Anda telah memberikan semangat, kekuatan, kejayaan dan keseronokan.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram