Claude Puel: Riyad Mahrez ‘Lebih Lengkap’ Berbanding Ketika Menjuarai Liga Perdana Inggeris 2015/16

Riyad Mahrez

Pengurus Leicester City, Claude Puel percaya bahawa Riyad Mahrez semakin membuktikan beliau merupakan pemain yang lebih sempurna berbanding ketika membantu Leicester City mencipta kejutan menjuarai Liga Perdana Inggeris musim 2015/16.

Pemain antarabangsa Algeria itu berjaya menjaringkan tiga gol dalam enam perlawanan terakhir dalam saingan liga dan yang terbaru adalah ketika menewaskan Watford 2-0 kelmarin.

Berada dalam prestasi terbaik membuatkan Mahrez juga turut dikaitkan dengan gosip perpindahan ke beberapa pasukan termasuk Arsenal dan Liverpool pada jendela perpindahan Januari ini.

Puel sebelum ini telah mengeluarkan kenyataaan bahawa Mahrez tidak akan meninggalkan Leicester City pada Januari ini dan menyifatkan pemain tengah tersebut semakin menunjukkan peningkatan selepas membantu The Foxes mencipta kejutan sekaligus dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan PFA 2015/16.

”Lebih baik? Saya merasakan dia (Riyad Mahrez) lebih lengkap, dia mampu untuk menembusi bahagian pertahanan lawan, dia juga merupakan pemain yang berpengalaman dan mempunyai tahap kematangan yang baik.”

”Apabila dia boleh menembusi pertahanan lawan atau bermain dengan mudah, ianya cukup baik buat dirinya sendiri dan juga pasukan.”

”Dia boleh melakukan beberapa penembusan ke arah gol lawan seperti satu atau dua tahun yang lalu tetapi dia juga boleh mengatur corak permainan dengan sentuhan satu atau dua dan turut mencipta bantuan jaringan. Dia lebih sempurna.”

Tujuh daripada sembilan gol yang dihasilkan Riyad Mahrez dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini adalah ketika Claude Puel mengambil alih tugasan selaku pengurus pada bulan Oktober lalu.

Dalam masa yang sama, Puel turut memuji sikap profesional dan prestasi yang ditunjukkan Mahrez walaupun banyak spekulasi yang berterusan mengaitkannya dengan pasukan lain.

”Kami dapat melihat ketika dia beraksi di padang, dia benar-benar menikmati karier bola sepaknya dan itu adalah sangat hebat.”

”Spekulasi tidak menjadi masalah buat dirinya dan lebih penting dia meneruskan kerjanya,” kata Puel lagi.

”Selepas itu, semuanya hanyalah sekadar spekulasi. Kami tahu jendela perpindahan adalah perkara biasa.”

Selepas bergelut pada awal musim sehinggakan khidmat Puel ditagih bagi membimbing pasukan, Leicester City kini berada di kedudukan yang begitu baik setelah menghuni tangga ke-7 liga dengan mencatatkan 34 mata.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply