Manchester City Setuju Lepaskan Leroy Sane Ke Bayern Munich

Leroy Sane

Pemain sayap Manchester City, Leroy Sane semakin hampir untuk kembali beraksi dalam saingan Bundesliga selepas The Cityzens dan Bayern Munich telah bersetuju dengan nilai perpindahan berjumlah £54.8 juta untuk membawa pemain tersebut ke Allianz Arena.

Sane yang masih mempunyai baki kontrak sehingga 30 Jun 2021 dilaporkan telah menolak lanjutan kontrak daripada Manchester City dan itu menjadi isyarat jelas bahawa beliau mahu meninggalkan Etihad Stadium.

Dalam pada itu, Sane juga sememangnya merupakan sasaran utama Bayern Munich dalam usaha juara Bundesliga 2019/20 itu untuk memantapkan lagi posisi sayap kelab tersebut.

Pada ketika ini, skuad Bavaria itu sudah memiliki khidmat dua pemain lincah iaitu Kingsley Coman dan Serge Gnabry. Musim 2019/20 juga menyaksikan Bayern Munich telah meminjam Phillipe Coutinho dan Ivan Perisic bagi memberikan lebih banyak pilihan di posisi tersebut.

Menurut laporan yang dikeluarkan Goal, Sane akan ‘terbang’ ke Munich dalam tempoh 24 jam ini bagi melengkapkan perpindahan tersebut.

Pemain berusia 24 tahun itu dijangka akan memeterai kontrak selama lima tahun dengan nilai menelan £20.1 juta setahun, satu jumlah yang lebih besar berbanding apa yang telah disediakan oleh Manchester City.

Kempen Bundesliga sudah pastinya tidak asing buat Sane kerana beliau merupakan anak kelahiran Essen, Jerman dan memulakan karier profesionalnya bersama Schalke 04 bermula musim 2013/14.

Selama tiga musim bersama kelab yang turut dikenali sebagai Die Konigsblauen itu, Sane telah membuat 57 penampilan dan menjaringkan 13 gol sehingga berjaya menarik minat Manchester untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi musim 2016/17.

Kredit featured image: TF-Images/TF-Images via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Leroy Sane:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram