Ciro Immobile Raih Gelaran Capocannoniere, Zlatan Ibrahimovic Cipta Rekod

Kerjasama Semuanya BOLA

Ciro Immobile

Ledakan satu gol ketika bertemu Napoli pada awal pagi tadi menyaksikan penyerang Lazio, Ciro Immobile berjaya menyamai rekod jaringan tertinggi semusim yang dilakukan Gonzalo Higuain pada musim 2015/16.

Gol pada minit ke-22 itu merupakan jaringan ke-36 buat Immobile musim ini sekaligus menjadikannya sebagai pemenang gelaran Capocannoniere (penjaring terbanyak) kempen Serie A 2019/20 meskipun beberapa pasukan masih belum menamatkan perlawanan terakhir mereka.

Lebih menarik untuk diperkatakan, penyerang berusia 30 tahun itu turut berjaya menewaskan peledak Bayern Munich, Robert Lewandowski [34 gol] bagi menjadikannya sebagai penjaring terbanyak Eropah.

Kejayaan Immobile ini juga bermakna buat pertama kali sejak musim 2006/07, gelaran tersebut tidak dimenangi atau dikongsi bersama pemain dalam saingan La Liga.

Immobile meledakkan hatrik pada pertemuan menentang Sampdoria dan Hellas Verona manakala tujuh kali berjaya menjaringkan dua gol pada setiap perlawanan.

Dalam perkembangan sama mengenai penjaring dalam kempen Serie A, penyerang veteran, Zlatan Ibrahimovic turut mencipta rekod apabila menjadi pemain tertua yang mencatatkan jumlah jaringan dua digit dalam semusim.

Menyertai AC Milan pada jendela perpindahan musim sejuk lalu, Ibrahimovic yang kini berusia 38 tahun pantas memberikan impak kehadirannya dengan meningkatkan moral pasukan.

Beliau yang pernah memenangi gelaran Capocannoniere sebanyak dua kali [2008/09 dan 2011/12] telah menjaringkan 10 gol dalam 18 penampilannya pada musim ini.

Kredit featured image: Marco Rosi/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Ciro Immobile:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply