CIMB Liga Super 2020: Jaringan Shahrel Fikri Nafikan Kemenangan Sabah

Sabah

Sabah gagal menggunakan kelebihan mendahului Perak sebanyak dua kali selepas terikat 2-2 pada aksi keempat CIMB Liga Super Malaysia 2020 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Berdepan Perak yang dalam misi mengekalkan rekod tanpa kalah langsung tidak menggentarkan barisan pemain Sabah apabila skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto itu mempamerkan corak permainan bertenaga.

Azzizan Nordin terlebih dahulu mencuri tumpuan pada minit kelima perlawanan apabila sepakan percuma dari jarak jauh yang diambil pemain tengah berusia 26 tahun itu mengelirukan penjaga gol Perak, Mohammad Nasrullah Abdul Aziz sekaligus terus menerjah gawang untuk membuka tirai jaringan.

Kelebihan itu bagaimanapun dipadamkan oleh Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-17 selepas beliau menerima lorongan cantik daripada Guilherme De Paula . Shahrel yang hanya berhadapan dengan penjaga gol, Rozaimi Rohim tidak berdepan masalah untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kelincahan pemain sayap kiri Sabah, Alto Linus nyata menjadi masalah buat pertahanan Perak setelah beberapa kali larian deras dilakukannya gagal dikekang pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan.

Ia terbukti pada minit ke-27 berpunca daripada larian deras Alto Linus, pemain berusia 33 tahun itu melakukan hantaran lintang yang disambar Guy Kassa Gnabouyou dalam kotak penalti untuk sekali lagi meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.

Jaringan tersebut menjadi tonik sangat berguna buat para pemain Sabah yang berterusan memberikan tekanan buat jentera pertahanan pasukan. Hampir tiga percubaan berbahaya berjaya dicipta namun ketangkasan Nasrullah dan ketenangan Rafiuddin Roddin dalam mengeluarkan bola di atas garisan menjadi penghalang.

Guilherme De Paula turut terlepas peluang keemasan apabila kawalan baiknya dalam kawasan penalti disudahkan dengan rembatan padu tetapi percubaan itu ditepis Rozaimi yang kemudiannya bola sekadar singgah di palang gol.

Ketika aksi hanya berbaki 10 minit untuk ditamatkan, Shahrel Fikri meleburkan hajat tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh apabila tolakannya hasil sepakan percuma Hafiz Ramdan berjaya menyamakan kedudukan.

Keputusan 2-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata. Perak bagaimanapun sedikit ceria kerana rekod tanpa kalah mereka masih kekal sehingga ke hari ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram