CIMB Liga Super 2020: Aksi PJ City Menentang Terengganu FC Ditunda

PJ City

Maklumat penting buat penyokong PJ City FC dan Terengganu FC apabila perlawanan keempat CIMB Liga Super Malaysia 2020 melibatkan kedua-dua pasukan yang pada mulanya dijadualkan berlangsung malam esok terpaksa ditangguh ke satu tarikh akan diumumkan.

Menurut sumber laman Facebook rasmi Terengganu FC, keputusan penangguhan itu terpaksa diambil selepas pihak tuan rumah (PJ City FC) gagal untuk menyediakan venue perlawanan setelah stadium yang digunakan pada musim lalu, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya masih dalam proses baik pulih.

Usaha untuk mencari stadium alternatif di sekitar Lembah Klang juga turut menemui jalan buntu selepas kesemua stadium telah ditempah oleh pasukan-pasukan lain yang turut beraksi dalam pentas Liga Super dan Liga Premier.

Laman rasmi PJ City FC turut memuatnaik status berhubung perkembangan terkini itu dan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pada ketika ini.

📢 ANNOUNCEMENT 📢The scheduled match against Terengganu FC is postponed due to unforeseen circumstances.We apologize…

Posted by PJ City FC on Thursday, 12 March 2020

Pada aksi kedua tempoh hari, PJ City FC menggunakan Stadium UiTM bagi melayani kunjungan Pahang yang menyaksikan skuad bimbingan K. Devan itu berjaya mencatatkan kemenangan 3-2.

Dengan penangguhan perlawanan ini, hanya 10 pasukan akan beraksi pada minggu ini di mana Sabah menanti kunjungan Perak, Melaka akan menentang Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berhadapan dengan Felda United pada hari Sabtu.

Sementara itu dua lagi aksi yang melibatkan Kedah bertemu Selangor serta UiTM bertemu PDRM FA berlangsung pada Ahad. Kesemua perlawanan tersebut akan berlangsung tanpa penyokong dan pengamal media selain daripada penyiar rasmi dan jurufoto rasmi MFL.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram