Chiew Chun Yong Umum 14 Pemain Futsal Negara Hadapi Kejohanan Di Hatyai

Futsal

Teka-teki mengenai barisan pemain skuad futsal negara yang bakal menggalas tanggungjawab dalam Kejuaraan Futsal Antarabangsa Thailand 2020 terjawab selepas ketua jurulatih, Chiew Chun Yong mengumumkan 14 pemain tersebut, petang semalam.

Pemilihan kali ini menyaksikan kehadiran semula ketua pasukan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin memperkuatkan pasukan selepas beliau terpaksa diketepikan ketika Kejuaraan Futsal AFF 2019 di Vietnam kerana mengalami kecederaan.

Chiew Chun Yong juga turut menyenaraikan tiga pemain baharu iaitu Muhammad Syawal Sabaruddin dari Perak, Muhammad Ekmal Shahrin (Selangor) dan juga pemain Pulau Pinang, Iqhmal Najmie Ismail.

Baki 10 pemain pula adalah barisan yang sama ketika kejohanan serantau di Vietnam pada Oktober lalu dengan menampilkan Saiful Nizam Mohd Ali, Abu Haniffa Hasan, Mohd Azwann Ismail, Mohamad Awalluddin Mat Nawi dan Mohd Ridzwan Bakri dari Pahang Rangers.

Selain Ekmal, juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019, Selangor turut mempunyai empat lagi wakil apabila Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Azrul Hadee Mohd Taufiq, Muhammad Fariq Mohammad dan Muhammad Saad Abdul Sani terus menjadi pilihan Chun Yong.

Sementara itu, satu lagi slot diisi oleh pemain Fixo (pertahanan) Perak, Muhammad Farikh Khabibor Rahman.

Kejohanan yang bakal berlangsung di Central Festival, Hatyai Hall itu menyaksikan skuad negara diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Thailand dan Turkmenistan. Kumpulan B pula terdiri daripada Iran, Tajikistan dan Kuwait.

Skuad negara akan menghadapi Thailand pada Ahad, 2 Februari 2020 diikuti aksi kedua bertemu Turkmenistan pada Isnin, 3 Februari.

Jika Malaysia berjaya menduduki dua tempat teratas Kumpulan A, perlawanan separuh akhir dijadual berlangsung pada Khamis, 6 Februari 2020 iaitu bertemu mana-mana dua pasukan teratas dari Kumpulan B iaitu sama ada Iran, Tajikistan atau Kuwait.

Seterusnya perlawanan penentuan tempat ketiga dan final dijadual berlangsung pada Sabtu, 8 Februari 2020.

Thailand menganjurkan kejohanan jemputan ini sebagai persiapan mereka bersama-sama Turkmenistan, Iran, Tajikistan dan Kuwait yang akan beraksi pada pusingan akhir Kejuaraan Futsal AFC 2020 di Ashgabat, Turkmenistan dari 26 Februari hingga 8 Mac 2020.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN