Chong Yee Fatt Rasa Tekanan, Akui Perak FC Tiada Sentuhan Kreatif

Chong Yee Fatt Perak fc penang fc 2021 tekanan

Empat perlawanan tanpa kemenangan, pengendali Perak FC, Chong Yee Fatt akui beliau mula merasai tekanan selepas pasukannya tunduk 1-2 kepada Penang FC.

Sejak menang 2-0 ke atas Sri Pahang FC pada 10 Mac, Perak masih tercari-cari formula untuk mengulanginya apabila selepas itu mereka tewas kepada Terengganu FC dan KL City sebelum seri 2-2 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hujung Mac.

Permulaan bulan April juga nampaknya tidak memihak kepada mereka apabila The Bos Gaurus tunduk pula kepada pasukan yang baru meraih promosi ke Liga Super, Penang dengan keputusan 1-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya.

Lebih memeritkan, ia merupakan kekalahan pertama Perak kepada Penang selepas kali terakhir tewas pada Mei 2009. Adakah Chong Yee Fatt sudah kekeringan idea?

Bercakap kepada media selepas perlawanan tersebut, pengendali yang mengambil alih posisi tersebut daripada Mehmed Durakovic pada permulaan musim ini, dilihat hilang kata-kata. Tiada apa yang mampu beliau kreditkan apabila mereka gagal.

“Ya, sudah tentu [tekanan apabila gagal dalam empat perlawanan]. Tekanan itu selalu ada,” ungkap pengendali Perak itu sambil menyentuh isu sentuhan penyudah.

“Kami bermain baik di babak pertama. Sayangnya kami tidak dapat mengekalkan gol awal sehingga babak kedua. Sudah tentu, kami tahu di babak kedua Penang akan memburu kemenangan dan ia berlaku. Sebelum jaringan itu, kami berjaya mencipta peluang dan jika kami menyudahkannya, kisahnya mungkin berbeza,” ujarnya.

Perak mendahului perlawanan seawal minit ke-12 apabila Careca berjaya menanduk masuk gol pertama. Ia bermula di sudut kiri gawang tuan rumah yang menyaksikan lambungan ke belakang oleh Sergio Aguero melewati jangkauan Sam Somerville.

Careca dilihat sebagai nadi serangan Perak apabila semua gerakan permulaan serangan akan bermula daripadanya. Chong Yee Fatt menggunkannya sebagai fokal serangan, tetapi setiap gerakan yang dihasilkannya masih gagal membantu mereka.

Ini memaksa pemain itu cuba menyudahkan sendiri peluang yang diciptanya seperti asakan di babak kedua selepas jaringan kedua Penang dihasilkan. Namun, Sam Somerville dilihat kukuh mempertahankan gawang golnya daripada dibolosi lawan.

“Ya saya akuinya [tiada kreativiti]. Ini kerana, pada ketika ini kami tiada pemain yang sebegitu. Kami boleh mengawal perlawanan, tetapi akhirnya kami tiada pemain untuk membuat killer pass atau bijak dalam membuat keputusan [di tengah padang].

“Sehingga ke perlawanan ini, permainan kami agak mudah dibaca. Jadi, ini sangat memudahkan pihak lawan untuk mengkaji strategi dan permainan kami,” jelasnya.

Kebergantungan kepada hanya Careca jelas kelihatan apabila pemain itu sering kali menukar posisinya sama ada di sebelah kanan atau kiri sayap. Namun, sentuhan kreatif di jentera tengah tidak kelihatan untuk melepaskan bola kepada penyerang.

Chong Yee Fatt dan Perak kini dalam tekanan. Dengan kekalahan ketiga itu, mereka kini berada di kedudukan ke-9, satu mata daripada pasukan di zon penyingkiran.

KREDIT FEATURED IMAGE: Facebook Zaharizad Zulkifli

Baca lagi artikel lain tentang Chong Yee Fatt dan Perak FC:

TERKINI: Chong Yee Fatt Ganti Mehmed Durakovic Sebagai Jurulatih Perak

Meski Kecewa, Yee Fatt Tetap Lega Dengan Aksi Positif Perak Berdepan JDT

3 Sebab Perak Boleh Dikatakan Bertuah Dapat ‘Rampas’ Azri Ghani

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply