Chong Yee Fatt Akui Careca, Leandro ‘Buat Perangai’ Sebelum Ke Terengganu

Chong Yee Fatt Perak FC latihan KL City Liga Super 2021

Pengendali Perak FC, Chong Yee Fatt berkata yang dua pemain import, Careca dan Leandro dos Santos ada menunjukkan seperti mereka mahu meninggalkan pasukan.

Ia berlaku dalam minggu terakhir sebelum liga kembali bersambung dan ketika mereka mahu berangkat ke Kuala Terengganu untuk berdepan Terengganu FC baru-baru ini. Ia seolah-olah memberi petanda yang mereka sudah bersedia untuk tinggalkan Perak.

Careca dan Leandro pernah meminta dilepaskan ketika kemuncak masalah tunggakan gaji pada Mei yang lalu yang menyaksikan sebahagian besar pemain utama pasukan telah meninggalkan pasukan termasuklah kapten The Bos Gaurus, Shahrul Saad.

Namun, kata sepakat gagal dicapai dan mereka bakal kekal untuk meneruskan baki saingan Liga Super musim ini yang kembali bersambung pada hujung minggu lalu.

Shahrul Saad disertai Guilherme de Paula berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Kenny Pallraj dan J. Parthiban (KL City FC), Nazirul Naim (Sabah FC) serta Shakir Hamzah yang memilih untuk akhirnya kembali ke kampung halamannya di Singapura.

Perak dilihat membawa masuk lima pemain import dalam usaha untuk mengukuhkan Perak dan Perak FC II, namun Semuanya BOLA dalam artikel, ‘Apa Nasib Careca & Leandro Yang Pernah Minta Dilepaskan Perak?’ menjangkakan mereka akan tersisih.

Kemasukkan pemain import baharu seolah-olah memberikan mereka signal untuk meninggalkan pasukan. Seperti kata bekas Bendahari pasukan, Datuk Sham Mat Sahat sebelum ini, mereka memberi keutamaan kepada yang ada ‘jiwa’ bersama Perak.

Kedua-dua pemain ini merupakan tonggak utama pasukan dan keputusan secara tiba-tiba untuk meninggalkan pasukan memang memberikan impak negatif ketika ini.

Selepas kekalahan memalukan 0-5 kepada Terengganu, kedua-dua pemain telah memutuskan untuk meninggalkan pasukan walaupun mereka tidak terlibat dalam perlawanan tersebut. Dan menurut Yee Fatt, mereka berdua ada memberi ‘alasan’.

“Sebelum ini, kita memang sudah agak-agak dah [mahu tinggalkan pasukan]. Ketika di Terengganu, mereka katakan tidak berapa sihat dan selepas balik dari Terengganu, mereka katakan mahu tarik diri,” ungkapnya dalam sidang media malam tadi.

“Sehari sebelum berangkat ke Terengganu, masing-masing kata ada kecederaan. Lepas balik dari Terengganu, pengurusan beritahu, mereka berdua telah hantar surat untuk tamatkan kontrak. Itu saya tak tahu [isi kandungan surat penarikan diri].

“Saya tiada masalah dengan komitmen para pemain [berdepan KL City] kerana kita berdepan masalah dalaman kehilangan pemain secara tiba-tiba,” jelas Yee Fatt lagi.

Kedua-dua pemain itu merupakan tonggak utama Perak sejak beberapa musim ini. Pemain tengah bertahan, Leandro misalnya, telah bersama Perak sejak musim 2017 dan telah membantu Perak meraih kejuaraan Piala Malaysia pada musim 2018.

Pemain tengah menyerang, Careca pula telah menyertai Perak sejak musim 2019 dan merupakan pemain yang diharapkan untuk mencipta gerakan ke kubu lawan di saat Perak dilihat ketandusan sentuhan kreatif di jentera tengah sepanjang musim ini.

Daripada 13 perlawanan Liga Super yang dilalui, kedua-dua pemain itu telah tampil sebanyak 12 kali. Leandro telah merekodkan 1064 minit permainan dengan satu gol, sementara Careca pula meraih 1034 minit permainan dengan empat gol.

Yee Fatt turut memaklumkan Perak mungkin terpaksa bertahan untuk beberapa aksi lagi tanpa khidmat pemain import selain Charlie Machell dan Nana Poku yang sudah lama berlatih bersama pasukan, sementara yang lain baru menyertai latihan.

Berbaki tujuh aksi dan pemain yang dikatakan masih belum serasi, adakah Perak akan berjaya keluar daripada zon penyingkiran atau bakal tersingkir ke Liga Premier?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply